Global: Turki Lancar Serangan ke atas Puak Kurdish di Utara Syria



Peperangan di Syria yang telah berlarutan selama 7 tahun kini bertambah rumit setelah tentera Turki menyerang wilayah Afrin di utara Syria yang dikuasai oleh puak pemberontak Kurdish pada 21 Januari lepas. Kerajaan Turki menyifatkan militia Kurdish People’s Protection Units (YPG) yang menguasai wilayah sempadan Turki-Syria sebagai pengganas dan entiti yang boleh membahayakan keselamatan negara Turki.

Serangan berkenaan bertujuan untuk membebaskan wilayah Afrin daripada cengkaman YPG, sekaligus membersihkan kawasan sempadan Turki-Syria daripada pengaruh militia Kurdish. Pihak tentera Turki dibantu oleh Free Syrian Army (FSA), pihak pejuang Syria yang telah mempertahankan rakyat Syria daripada keganasan rejim Bashar Al-Asad sejak revolusi bermula pada tahun 2011.

Konflik Turki-Kurdish berkenaan dirumitkan lagi dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan Amerika Syarikat kepada YPG yang melihatnya sebagai proksi utama mereka di Syria dalam menentang Daesh dan rejim Al-Asad. Kerajaan Amerika Syarikat telah memprotes tindakan yang dibuat oleh Turki, namun Kerajaan pimpinan Erdogan berkeras untuk menghancurkan pengaruh YPG di utara Syria. *The Guardian


#WacanaPISA
#SorotanGlobal
TAG