Usrah PERKEPIS Bersama Pengasas


[Usrah PERKEPIS bersama Pengasas]

Kuching, 25 Januari 2018: Dalam usaha mengukuhkan jati diri para pelajar Islam, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) terus konsisten dalam penganjuran kegiatan ilmiah dan tarbiyah yang dianjurkan secara konsisten dan berkala. PERKEPIS telahpun menganjurkan Usrah PERKEPIS dengan pengisian khas oleh al-Fadhil Ustaz Suhardi Haji Edward, Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Tahfiz Agama (STA) al-Razi, Kuching.

Usrah kali ini diadakan di kediaman Tuan Syed Ismail, Taman Seruling, Kuching. Bermula jam 09:00 malam, usrah yang berlangsung selama hampir dua jam ini mengangkat tema “melahirkan kepemimpinan khayra ummah”. Usrah dimulakan dengan bacaan zikir al-Mathurat, diikuti dengan pengisian oleh al-Fadhil Ustaz Suhardi Haji Edward.

Dalam pengisiannya, beliau mendefinisikan konsep “khayra ummah” sebagai suatu kualiti umat Nabi Muhammad S.A.W yang menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah insan melakukan perkara mungkar, dengan akar keimanan yang utuh kepada Allah S.W.T.

Ustaz Suhardi juga sempat menceritakan serba sedikit pengalaman beliau bersama rakan-rakan mengasaskan PERKEPIS pada tahun 1997, yang bermula dengan sekelompok pelajar perubatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang beriltizam menggerakkan agenda dakwah dalam kalangan pelajar. Pada awalnya mereka menggelar kelompok mereka sebagai B-9. Setelah itu, penggabungan dilakukan dan penyusunan semula struktur pertubuhan digerakkan sehingga melahirkan PERKEPIS.

PERKEPIS telah bergabung sebagai badan gabungan negeri kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sebuah pertubuhan induk persatuan pelajar Islam di peringkat nasional yang telah tertubuh sejak tahun 1961, dan merupakan antara pertubuhan pelajar tertua di Malaysia.



TAG