Kota Samarahan, 03 Mac 2018: Para mahasiswa harus sedar dan mengetahui cara-cara mempersiap diri menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam pelbagai aspek. Justeru, bagi membahaskan topik ini, pihak jawatankuasa Kolej Cempaka, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menganjurkan program wacana santai Bicara Bitara, sempena Karnival YASS yang berlangsung bermula 02 Mac sehingga 04 Mac 2018.
ABIM Negeri Sarawak diwakili setiausahanya, Saudara Mohammad Fazril Mohd Saleh telah diundang sebagai panel pembicara dalam program tersebut dengan digandingkan bersama Encik Bakri bin Abdul Karim, Pengetua Kolej Cempaka. Pelbagai perkara dibahaskan oleh kedua-dua panel khususnya tips dan panduan bermanfaat bagi memandu para mahasiswa mengatur kehidupan alam kampus.
Mohammad Fazril yang juga merupakan pelajar pasca-siswazah di Institut Pengajian Borneo, UNIMAS adalah mantan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan penulis bagi tiga buah buku "Florilegia Tiga Ikan Pandai", "Bitara: Beberapa Cataran untuk Pedoman Teman-teman" dan "Nasihat al-Muluk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam". Beliau juga merupakan pengasas konsep 'Mahasiswa Bitara'.
Tiada ulasan
Catat Ulasan