KENYATAAN MEDIA ABIM NEGERI SARAWAK (17 OGOS 2018) - ‘LADIES’ NIGHT’ ANCAMAN KEPADA REMAJA: ABIM SARAWAK SOKONG USAHA KWKPK





KENYATAAN MEDIA
ABIM NEGERI SARAWAK
17 OGOS 2018

LADIES’ NIGHT’ ANCAMAN KEPADA REMAJA: ABIM SARAWAK SOKONG USAHA KWKPK

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak menyatakan keprihatinan kami terhadap gejala penyertaan golongan remaja dalam acara 'Ladies' Night' yang menjadi salah satu faktor yang membawa kepada kehamilan remaja luar nikah. Kami merujuk laporan berita oleh akhbar The Borneo Post bertarikh 17 Ogos 2018 berjudul "Ladies' Night Spells Dangers for Girls" (halaman muka depan).

Dalam laporan akhbar tersebut, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Hajjah Fatimah Abdullah mendedahkan dapatan oleh One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) yang mengenalpasti acara 'Ladies' Night' yang selalunya dipromosikan di bar-bar sebagai salah satu faktor penyebab kehamilan remaja luar nikah. Promosi ini menyajikan minuman keras secara percuma atau pada kadar diskaun tertentu kepada wanita termasuk remaja perempuan yang menyertai acara tersebut.

Dato Sri Hajjah Fatimah juga dilaporkan berkata dengan penyertaan remaja perempuan dalam acara 'Ladies' Night' ini mendorong kepada risiko kehamilan remaja yang tinggi memandangkan acara sepertinya melibatkan pengambilan minuman keras yang berkemungkinan besar menjerumuskan mereka ke kancah keterlanjuran.

ABIM Negeri Sarawak berpandangan, acara seperti ini mestilah dikekang bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk kepada masyarakat keseluruhan khususnya golongan remaja bawah umur. Promosi acara sepertinya termasuk melalui media sosial dilihat sebagai keterlaluan, dan pihak berwajib disarankan agar mempertimbangkan tindakan penguatkuasaan berdasarkan lunas undang-undang bagi mengekang promosi seperti ini.

Penjualan alkohol kepada mereka yang berusia di bawah 21 tahun adalah jelas merupakan suatu kesalahan menurut peraturan berkaitan minuman beralkohol di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang diwartakan pada 27 Mei 2017. Selain itu, semua penjual minuman beralkohol diwajibkan untuk mempamer notis 'Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan' di hadapan premis masing-masing. Peraturan 386A mengenai Sebatian Minuman Keras (CHL) pula telah diwujudkan bagi mengekang kebolehdapatan CHL dalam kalangan golongan berpendapatan rendah.

Statistik juga menunjukkan bahawa seramai 973 kehamilan remaja berlaku sebagaimana dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Julai 2018. 879 kes daripadanya berlaku ke atas golongan remaja perempuan yang tidak bersekolah atau tercicir daripada persekolahan. Jumlah ini tetap dianggap membimbangkan walaupun terdapat penurunan yang signifikan jika dibandingkan dengan jumlah kes dicatatkan pada tahun lepas dalam tempoh yang sama iaitu sebanyak 1,135 kes.

Justeru, ABIM Negeri Sarawak menyatakan pendirian kami membantah sebarang bentuk penyertaan golongan remaja bawah umur ke acara seumpanya. Kami juga membantah sebarang iklan terbuka sama ada melalui media cetak atau media elektoronik yang mempromosikan amalan gaya hidup tidak sihat seperti ini.

Kami juga menyarankan agar keluarga khususnya ibu bapa lebih peka dengan kegiatan anak-anak mereka agar tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan. Ibu bapa juga perlu sedar bahawa ancaman-ancaman yang membahayakan anak-anak mereka datang daripada pelbagai arah, lebih-lebih lagi dalam dunia digital kini. Sungguh tarbiah atau pendidikan yang terbaik adalah bermula dari rumah dan ibu bapa adalah contoh tauladan terbaik buat anak-anak, bukan semata-mata menyediakan keperluan material yang cukup tetapi juga ‘nafkah rohani’ yang mantap untuk bekalan anak-anak berdepan dengan pancaroba kehidupan.

Selain itu, kami sepenuhnya menyokong usaha dan keprihatinan Kerajaan Negeri Sarawak yang menyedari bahaya 'Ladies' Night' ini. Kami yakin pihak kerajaan dan agensi berkaitan mempunyai mekanisme tersendiri dalam membendung isu ini.

Dalam perkembangan yang sama, ABIM Negeri Sarawak mewakili sebahagian khalayak awam merakamkan penghargaan kepada KWKPK atas inisiatif yang berkesan dalam membendung gejala kehamilan remaja luar nikah ini khususnya di bawah inisiatif One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) yang telah digerakkan sejak Oktober 2014.

ABIM Negeri Sarawak khususnya di bawah kelolaan HELWA sentiasa peduli dan mengikuti perkembangan positif ini di samping menggerakkan usaha dalam kapasiti kami untuk menyedarkan masyarakat khususnya beliawanis agar sentiasa berwaspada dengan gejala tidak sihat yang mengancam mereka.

HELWA ABIM merancang untuk menggiatkan lagi program-program memupuk kesedaran di samping menangani masalah sosial dalam kalangan remaja perempuan ke seluruh pelusuk negeri dengan modul-modul seperti 'Dirimu Begitu Berharga (DERMAGA)' dan 'Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP)'. Kegiatan-kegiatan seperti ini tidak hanya mensasarkan medium sekolah, memandangkan majoriti kes yang berlaku melibatkan remaja yang tidak bersekolah dan juga tercicir persekolahan.

Di samping itu, kempen gaya hidup sihat seperti modul 'Say No to DARTS (Drug-Alcohol-Relationship issues-Time Wastage-Smoking)' yang telah digerakkan oleh ABIM bersama NGO-NGO Persahabatan Agama akan mula diperkenalkan di negeri ini.

Kami mengharapkan agar isu ini dapat dibendung dan lebih ramai anak remaja kita dapat diselamatkan. Dengan keberkesanan polisi dan tindakan kerajaan, dijalin bersama kepedulian masyarakat dan kerjasama semua akan mampu merealisasikan hasrat kita dalam memastikan agenda kesejahteraan warga negeri ini terlaksana.


“SEJAHTERAKAN SARAWAK”


SHARIFAH AFIFAH BINTI WAN MORSIDI
Naib Yang Dipertua (HELWA)
ABIM Negeri Sarawak

17 Ogos 2018


No. Fon: +60138239029 (Sh. Afifah)
Emel: abimsasar@gmail.com




TAG