KENYATAAN MEDIA ABIM NEGERI SARAWAK (26 OGOS 2018) - PENULARAN WABAK RABIES: KERAJAAN PERSEKUTUAN USAH BERLENGAH BANTU TANGANI PENULARAN DI SARAWAK




KENYATAAN MEDIA
ABIM NEGERI SARAWAK
26 OGOS 2018

PENULARAN WABAK RABIES: KERAJAAN PERSEKUTUAN USAH BERLENGAH BANTU TANGANI PENULARAN DI SARAWAK

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak menyatakan kepedulian kami terhadap penularan wabak Rabies di Sarawak khasnya yang sehingga ke hari ini telah meragut 12 nyawa manusia. Sehingga kini, 36 lokasi di Negeri Sarawak telah diwartakan sebagai kawasan terjejas rabies.

Kami merujuk laporan berita oleh akhbar The Borneo Post bertarikh 24 Ogos 2018 berjudul “Using our own resources, Chief Minister says Sarawak has to use its own means to contain rabies, can't depend on federal government” (halaman muka depan).

Dalam laporan tersebut, YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari menyatakan bahawa Kerajaan Negeri perlu menggunakan sumber sendiri bagi menangani penularan wabak rabies yang semakin serius di Sarawak, memandangkan maklum balas yang kurang pantas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung wabak rabies di Negeri ini.

Bagi kami sebagai khalayak awam yang prihatin, kenyataan YAB Ketua Menteri Sarawak ini dilihat sebagai suatu 'keluhan' yang serius, seolah-olah Kerajaan Persekutuan bertindak lambat dalam menyalurkan peruntukan bagi menangani wabak rabies ini. Oleh yang demikian, jawapan daripada pihak yang bertanggungjawab adalah diperlukan bagi mengelakkan sebarang salah faham khususnya dalam kalangan warga Sarawak.

ABIM Negeri Sarawak juga berpandangan bahawa isu yang melibatkan kepentingan awam seperti ini wajar diberikan penumpuan dan keutamaan. Justeru, Kerajaan Persekutuan melalui agensi berkaitan harus bertindak pantas dalam menangani penularan wabak ini. Jangan sampai lebih banyak jiwa menjadi korban.

Kami juga menasihatkan warga Sarawak khususnya mereka yang ada memelihara anjing agar segera mendapatkan khidmat penvaksinan anti-rabies daripada Jabatan Perkhidmatan Veteriner Sarawak. Suntikan adalah wajib di bawah seksyen 40 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Dalam perkembangan yang sama, kami mengesyorkan para pemilik anjing agar bertindak mengurung anjing peliharaan masing-masing atau tidak melepaskannya di luar rumah tanpa pengawasan.

Bagi yang terkena gigitan atau dicakar haiwan seperti kucing dan anjing, mereka wajar segera mendapatkan rawatan dengan merujuk klinik atau hospital terdekat. Wabak yang membawa maut sepertinya tidak boleh dipandang enteng, justeru warga masyarakat perlu sentiasa peka dan peduli bagi mencegah penularannya.

Kami juga merakamkan penghargaan kepada pihak berwajib khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang sehingga kini telah berjaya menggerakkan sebanyak 1,790 kempen diadakan di negeri ini dengan penglibatan seramai 53,479 peserta. Dengan pembukaan makmal diagnosa di Muara Tuang Kota Samarahan baru-baru ini diharapkan dapat mempercepat pengujian sampel penyakit bagi tindakan yang lebih efisen.

Amatlah besar harapan kami agar Kerajaan Persekutuan memberikan maklum balas dan tindakan segera dalam menangani penularan wabak ini daripada terus menular dan meragut lebih banyak nyawa. Kami juga sedar bahawa isu ini bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak berwajib semata-mata tetapi juga peranan  masyarakat awam secara bersama.


"SEJAHTERAKAN SARAWAK"

Mohamad Raufa Irman bin Hj Abdul Raub
Timbalan Yang Dipertua 
ABIM Negeri Sarawak

26 Ogos 2018



No. Fon:  (Mohamad Raufa Irman  +60198899440)
Emel: abimsasar@gmail.com


TAG