KENYATAAN MEDIA ABIM NEGERI SARAWAK (28 OGOS 2018) - MERENCANA KECEMERLANGAN PENDIDIKAN SARAWAK: MESTR WAJAR BERPANDUKAN DATA DAN KAJIAN




KENYATAAN MEDIA
ABIM NEGERI SARAWAK
28 OGOS 2018

MERENCANA KECEMERLANGAN PENDIDIKAN SARAWAK: MESTR WAJAR BERPANDUKAN DATA DAN KAJIAN

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak menyatakan kepedulian kami terhadap usaha membangun pendidikan yang lebih berkualiti khususnya di Negeri Sarawak.

Kami merujuk laporan berita oleh akhbar The Borneo Post bertarikh 27 Ogos 2018 berjudul "Inadequate Chance to Improve: Minister Says Teachers, Headmasters and Principals Not Given Continuous Courses to Enhance Their Capability" (halaman muka depan).

Akhbar tersebut menyiarkan laporan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) YB Dato' Sri Michael Manyin Jawong mendakwa Kementerian Pendidikan Malaysia bertindak tidak adil kepada warga pendidik termasuk Guru Besar dan Pengetua kerana tidak memberikan latihan dan kursus secara berterusan, tetapi mengharapkan keputusan cemerlang daripada setiap sekolah. Beliau berkata demikian di hadapan 60 orang guru besar yang mengikuti Bengkel Memperkasa Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah Rendah Negeri Sarawak, bertempat di Institut Aminuddin Baki cawangan Sarawak, Kuching pada 26 Ogos yang lalu.

Malah lebih mengejutkan, beliau juga dilaporkan berkata bahawa ada dalam kalangan guru yang telah lama berkhidmat tetapi tidak pernah mengikuti sebarang kursus (“Sometimes a teacher came out from college or university, got posted to a school for a long period of time, or probably until he or she retires, but never attended any courses"). Ternyata ini suatu pendedahan yang sangat mengejutkan, kerana mengikut keputusan mesyuarat profesional Kementerian Pelajaran Malaysia bilangan 7/2007, guru-guru di Malaysia diberikan latihan dalam perkhidmatan yang mencukupi bilangannya iaitu tujuh kali setahun berasaskan sekolah.

Oleh yang demikian, sebagai seorang pemimpin yang berwibawa, YB Dato Sri Michael Manyin Jawong perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataannya agar tidak disalahtafsirkan. Jika merujuk kepada Laporan Tahunan 2017 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025), seramai 441,329 orang pegawai perkhidmatan pendidikan telah dinilai menggunakan instrumen Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP).

Manakala, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah memberikan fokus kepada pembangunan kepakaran khusus untuk pendidikan merangkumi empat bidang utama iaitu 'pembangunan dasar dan kurikulum pendidikan', 'pentaksiran', 'kaunseling dan psikologi' dan 'kejurulatihan utama pendidikan'.

Di samping itu, dalam konteks menghakupaya kepemimpinan sekolah, sebanyak 1,572 orang peserta telah mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NQPL) dengan kadar peratusan 79 peratus memperoleh keputusan cemerlang (PNGK 3.75 - 4.0). Selain itu juga, seramai 1,440 orang pemimpin sekolah telah mengikuti Program 'Residency' dan 'Immersion' (PRIme).

Ternyata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebenarnya banyak berusaha ke arah meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia termasuk di Negeri Sarawak. Pelan yang lengkap dengan mekanisme pemerolehan dan keberhasilan, serta penilaian berterusan terhadap pelan dilengkapi data dan statistik dilakukan secara konsisten oleh pihak KPM. Dokumen-dokumen pelan strategi pendidikan dan laporan berkaitan diumumkan kepada khalayak dan dapat diakses secara percuma oleh semua termasuk orang awam.

Justeru, MESTR sebenarnya perlu belajar daripada KPM untuk memastikan segala usaha MESTR dalam pembangunan pendidikan di Sarawak berlaku dengan profesional dan ia dapat dinilai secara objektif.

Walaupun begitu, sebagai kelompok 'masyarakat peduli pendidikan', ABIM Negeri Sarawak perlu mengucapkan tahniah kepada YB Dato Sri Michael Manyin Jawong dan kementeriannya kerana peduli dengan aspek pendidikan dan telah melaburkan sehingga RM24 juta untuk penganjuran siri-siri latihan dan kursus bagi memantapkan sektor pendidikan di Negeri Sarawak.

Namun begitu, MESTR perlu bijak dalam merencana dan mengatur program-program pemantapan pendidikan di Negeri Sarawak. Segala perancangan mesti dilaksanakan dengan bersandarkan kepada data dan fakta, bukan dengan telahan, pemerhatian rambang dan agakan semata-mata.

Keprihatinan kami ini adalah berasas memandangkan pelaburan peruntukan yang banyak dalam sektor pendidikan menuntut agar keberhasilan diperoleh, setimpal dengan pelaburan yang dikeluarkan. Jika mahu lihat peningkatan dalam prestasi pendidikan Negeri ini, maka ia harus dilihat secara luas dan menyeluruh.


"SEJAHTERAKAN SARAWAK"

Mohammad Fazril bin Mohd Saleh
Setiausaha 
ABIM Negeri Sarawak

28 Ogos 2018


No. Fon:  Mohammad Fazril Saleh (013-2775313)
Emel: abimsasar@gmail.com


TAG