Sesi Ucapan Penegasan dan Perasmian Ijtimak Haraki ke-2 WADAH-ABIM-PERKEPIS Negeri Sarawak dan Seminar Menyingkap Sejarah Islam di Sarawak


Kuching, 04 Ogos 2018: ABIM Negeri Sarawak bersama-sama keluarga besar jamaah merangkumi Wadah Pencerdasan Umat Negeri Sarawak dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Abim Sarawak) telah menganjurkan Ijtimak Harakiy ke-2, berlangsung pada 04 Ogos 2018, bertempat di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sarawak, di sini.
Sesi perasmian dan ucapan penegasan berlangsung dengan diteraju oleh YBhg Al-Fadil Ustaz Haji Jahidin bin Abang Abdul Latif.
Ucapan Sambutan disampaikan oleh Yang Dipertua PERKEPIS, Sdr. Muhammad Zhariff Azhari. Dalam ucapannya beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga jamaah dan juga para hadirin yang berperanserta dalam program ini seterusnya membincangkan aspek penting pensejarahan Islam di Negeri Sarawak.
Manakala, Encik Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin selaku Yang Dipertua ABIM Sarawak telah menyampaikan Ucapan Penegasannya berjudul "Menelusuri Sejarah, Memartabat Keadilan dalam Masyarakat Madani". Beliau memberikan penekanan kepada keperluan untuk kajian sejarah Islam di Sarawak kerana ia merupakan suatu keperluan dalam membangun generasi kini dan akan datang.
Dalam perkembangan yang sama, beliau juga mengingatkan bahawa kepelbagaian landskap masyarakat di Sarawak menuntut kita untuk berpegang teguh dengan tonggak perpaduan yang sangat mahal untuk digadaikan. Beliau juga menegur pihak berkepentingan dalam hal ehwal agama Islam agar tidak meminggirkan peranan NGO dan pertubuhan Islam dalam kontek penghakupayaan kewangan dan pergerakan, bukan semata-mata mengundang kemesyuarat untuk mendengar pembentangan kad laporan aktiviti otoriti agama yang cemerlang, walhal dalam statistik ternyata menabalkan bangsa kita sebagai juara dalam kebejatan sosial. Ini perlukan kepada keprihatinan bersama.
Wan Azizan juga menyeru kepada para pimpinan politik supaya bertunjangkan ilmu dan strategi yang mantap, berfikir tentang rakyat bukan memenuhkan hanya poket sendiri, memberi ruang dan peluang kepada golongan muda, mengangkat golongan profesional muda dan peduli dengan suara rakyat. "Zaman kini sudah berubah, justeru berubahlah atau kelak akan diubah"
Perasmian Program disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia, Dr. Muhamad Razak Idris. Beliau yang juga merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan betapa pentingnya penelitian dibuat dalam konteks sejarah Islam di Sarawak, yang sememangnya jarang-jarang diketahui umum. Usaha ini juga akan dapat membangkitkan jatidiri umat.
Foto-foto acara boleh diakses melalui pautan berikut: https://www.facebook.com/media/set/…
Rakaman sesi ini dapat diikuti melalui pautan berikut:















TAG