Alor Setar, 09 September 2018: Delegasi ABIM Sarawak telah berperanserta dalam TAMRIN HELWA, bertempat di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Kedah Darul Aman. Program perkampungan dua hari dua malam yang bermula sejak 08 September itu melibatkan hampir 80 orang perwakilan wanita HELWA ABIM daripada setiap negeri yang datang dari seluruh pelusuk Tanah Air.
Lima orang delegasi HELWA ABIM Sarawak dikepalai Puan Sharifah Afifah Wan Morsidi mengikuti Tamrin kali ini. Tamrin HELWA kali ini memsasarkan pembentukan generasi wanita gerakan yang terampil dan berwawasan di samping membahaskan isu-isu dan permasalahan semasa menyangkut isu wanita, keluarga dan masyarakat.
Delegasi ABIM Sarawak berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada 07 September 2018 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Dari sana, mereka bergerak dengan kereta menuju Maahad Tarbiyah Islamiah Derang yang berlokasi di Pokok Sena, Kedah Darul Aman.
Kesemua lima orang perwakilan HELWA Sarawak adalah:
1) SHARIFAH AFIFAH WAN MORSIDI
2) NORATIRAH RAMBLI
3) IDAYA HUSNA BINTI DOLLAH
4) SYARIFAH FATIN AWATIF
5) NURSHAZIRA ZAMRI
Presiden ABIM, Sdr. Mohamad Raimi Ab Rahim juga menyampaikan syarahannya menerusi slot “Bicara Presiden: Pemberdayaan HELWA ABIM; Aspirasi Malaysia Baharu”.
Antara pengisian yang termuat dalam agenda tamrin ini adalah “Bicara La Taqrabu Zina: Solusi Sosial dalam Gerakan Islam” oleh Ustazah Zaharah dari Maahad Derang dan slot “Tazkiyatun Nafs: Kepentingan & Kekuatan Ahli Gerakan” yang disampaikan oleh Datin Rohana Arshad, Ahli Majlis Syura WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) Kedah.
Pengisian lain yang tidak kurang hebatnya juga disampaikan oleh Ustaz Hafiz Mustafa Lubis daripada Maahad Derang dengan ceramah yang bertajuk “Ar-Ruhban Fil Lail Wal Furqan Fin Nahar: Memacu Kejayaan Pendokong Gerakan”.
Tirai acara dilabuhkan dengan Khulasah Tamrin yang dikelolakan oleh Puan Nor Azura Kamarudin Sohami, Naib Presiden (HELWA) ABIM dengan tajuk bicara “Citra Watak dan Cita Perjuangan Gerakan Masa Hadapan.
Selain sesi syarahan dan pengisian, para perwakilan juga mengikuti kegiatan dinamika kumpulan, sumbang saran dan pembentangan dapatan.
Perwakilan HELWA ABIM Sarawak selamat kembali ke Kuching pada 09 September, waktu malam. Tamrin kali ini diharap menjadi pemangkin kebangkitan baharu golongan wanita di Sarawak.
Tiada ulasan
Catat Ulasan