ABIM NEGERI
SARAWAK
25 SEPTEMBER
2018
KUATKUASA PREMIS MAKANAN SEBAGAI ZON BEBAS ASAP ROKOK: ABIM SARAWAK SOKONG TINDAKAN DBKU
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri
Sarawak merujuk kenyataan Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul
Wahab Abang Julai pada 20 September yang lalu berkenaan penguatkuasaan Zon
Bebas Asap Rokok di semua premis makanan di bawah seliaan DBKU yang bakal
berkuatkuasa mulai Januari tahun hadapan (rujuk laporan Berita Harian edisi 21
September 2018).
ABIM Negeri Sarawak mewakili khalayak awam di
negeri ini menyatakan sokongan penuh kami terhadap tindakan penguatkuasaan
tersebut. Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang peduli dan
prihatin dengan kesejahteraan rakyat di Sarawak, kami berpandangan sudah tiba
waktunya kerajaan dan pihak berwajib bertindak tegas dalam menangani
permasalahan asap rokok di tempat awam lebih-lebih lagi di premis makanan, restoran
dan kedai makan.
Dalam perkembangan yang sama, tindakan
menguatkuasakan larangan merokok di restoran atau kedai makan terbuka juga
mendapat perhatian Timbalan Menteri Kesihatan Dr. Lee Boon Chye yang
membangkitkan cadangan mewartakan premis restoran terbuka termasuk kedai mamak
sebagai kawasan bebas asap rokok mulai Disember tahun ini. Cadangan tersebut
dibangkitkan beliau dalam sidang Parlimen baru-baru ini.
ABIM Sarawak berpandangan, perokok yang
tergamak merokok di tempat awam telah meragut hak orang ramai untuk mendapatkan
udara segar di samping berpotensi menjejaskan kesihatan orang lain akibat
terhidu hembusan asap rokok yang berbahaya. Kami juga berpendapat, merokok di
tempat awam bukan sekadar suatu gangguan terhadap kesihatan khalayak, malah
juga menjadi petanda kurangnya adab dalam kalangan masyarakat kita.
Rokok atau tembakau merupakan ancaman terbesar
dan faktor risiko utama menyebabkan penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases - NCD) yang
menyumbang lebih daripada setengah juta kematian di rantau Asia Tenggara setiap
tahun. Oleh demikian, kerajaan Persekutuan harus menggunakan bidang kuasanya bagi
melaksanakan inisiatif untuk memperluaskan kawasan larangan merokok di bawah
Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017. Setakat ini di bawah
Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, terdapat 23
tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok termasuk pusat hiburan,
teater, dalam lif atau tandas awam, tempat makan berhawa dingin, dalam
kenderaan awam atau hentian awam, lapangan terbang, kawasan premis kerajaan dan
kawasan yang digunakan untuk apa-apa aktiviti perhimpunan.
Di samping itu, merujuk kepada usaha murni
pihak DBKU dalam konteks penguatkuasaan Zon Bebas Asap Rokok di premis makanan
dalam kawasannya, pihak kami juga menyokong penuh cadangan kompaun serta-merta
terhadap perokok yang melanggar peraturan ini. Sebenarnya, orang yang mempunyai
hemah dan 'kewarasan' tidak akan tergamak merokok di depan khalayak. Justeru
tindakan tegas seperti kompaun serta-merta diharap dapat mendidik mereka
menjadi warganegara yang lebih 'waras' dan bertimbang rasa.
ABIM Negeri Sarawak juga merakamkan ucapan
tahniah kepada DBKU kerana melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merealisasikan
harapan 'Bebas Asap Rokok' berlaku dalam kawasan tadbirannya. Kami mengikuti
perkembangan inisiatif seperti ini yang digerakkan oleh DBKU saban tahun.
Langkah ini wajar disertai majlis-majlis tempatan yang lain.
Di peringkat ABIM Negeri Sarawak sendiri memang
menjadikan kesemua premis dan institusi di bawah seliaan ABIM termasuk
institusi pendidikan TASKI ABIM bebas asap rokok sepenuhnya. Malah, anak-anak
pelajar TASKI dan para belia ABIM sentiasa diberikan kesedaran akan bahaya
rokok termasuk rokok elektronik dan vape.
Demi membentuk masyarakat yang sihat dan
beradab, besarlah harapan kami untuk melihat negeri yang dicintai ini sepenuhnya
bebas asap rokok menjelang tahun 2045 sebagaimana yang disasarkan oleh negara.
"SEJAHTERAKAN SARAWAK"
Mohamad
Rahmat bin Jamali
Naib Yang Dipertua 1
ABIM Negeri Sarawak
25 September 2018
No.
Fon: 011-61783206
Emel: abimsasar@gmail.com
Tiada ulasan
Catat Ulasan