Kunjungan Hormat ABIM Sarawak ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) zon Sarawak dan Pejabat Belia dan Sukan Negeri Sarawak


Kuching, 28 September 2018: ABIM Negeri Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat ke dua institusi berkaitan pertubuhan belia di Sarawak iaitu Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak.
Kedua-dua Pejabat ROY dan pejabat JBS Sarawak terletak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Jln Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching.
Kunjungan pertama berlangsung pada 18 September 2018. Delegasi kunjungan ABIM Sarawak yang terdiri daripada Sdr Muhammad Hazim Azhari (Yang Dipertua ABIM Sarawak) dan Mohammad Fazril bin Mohd Saleh (Setiausaha Negeri) telah berkunjung ke pejabat ROY zon Sarawak dengan disambut oleh Encik Sarbini Golong, Pegawai Pendaftar Kanan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Zon Sarawak
Objektif kunjungan ini adalah bagi memaklumkan secara rasmi berhubung kelulusan pertukaran status pendaftaran ABIM Sarawak daripada berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) kepada pendaftaran di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) di samping membincangkan perkara-perkara berkaitan penambahbaikan dalam pengurusan pertubuhan belia di Sarawak.
Dalam pertemuan itu, Encik Sarbini mengesahkan ABIM Negeri Sarawak merupakan satu-satunya pertubuhan belia (yang berdaftar di bawah ROY) yang mempunyai struktur paling lengkap merangkumi cawangan kelab, cawangam daerah dan cawangan Negeri.
Dalam perkembangan yang sama, ABIM Sarawak berpandangan bahawa pentadbiran dan pengurusan pertubuhan belia yang lebih efisen menjadi sasaran dalam mengupayakan golongan belia di Sarawak. Dengan pengurusan yang baik, banyak program2 dan aktiviti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sepuluh hari setelahnya, iaitu pada 28 September 2018, delegasi ABIM Sarawak yang terdiri daripada Yang Dipertua dan Setiausaha berkunjung pula ke Pejabat Belia dan Sukan Sarawak dan disambut oleh Timbalan Pengarah JBS Sarawak, Encik Zaini Abd Aziz.
Selain menyampaikan maklumat tentang perakuan dan kelulusan Pendaftaran ABIM Negeri Sarawak dan cawangan-cawangan daerah, beliau juga dimaklumkan berhubung kegiatan-kegiatan terkini ABIM Negeri Sarawak.
Beberapa kesepakatan dicapai dalam pertemuan tersebut termasuklah melibatkan ABIM negeri Sarawak secara aktif dalam kegiatan anjuran JBS di samping menggandakan usaha membangun kualiti belia-belia di negeri ini.
Delegasi ABIM Negeri Sarawak menyampaikan momento berbentuk frame penghargaan dan naskah terbitan baharu ABIM berjudul "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak".
Kunjungan ini mendapat liputan akhbar Utusan Borneo edisi 21 September 2018 (halaman 5).




TAG