Kunjungan Ziarah Pimpinan terhadap Datuk Hajjah Hafsah Hj Harun


Kuching, 28 September 2018: Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM Negeri Sarawak berkesempatan menziarahi Yang Berbahagia Datuk Hajjah Hafsah Harun, seorang tokoh pemimpin masyarakat, di kediaman beliau, di sini.
Rombongan diketuai Yang Dipertua, Sdr. Muhammad Hazim Azhari bersama-sama Setiausaha ABIM Sarawak Sdr Mohammad Fazril Saleh, Exco Regenerasi Sdr. Muhammad Zhariff Azhari, dan exco Kaderisasi Sdr Shahril Aqmal Baharin.
Kunjungan ziarah silaturrahim ini bertujuan mendapatkan nasihat dan pedoman dalam konteks kebaktian kepada umat dan masyarakat, di samping memaklumkan perihal pelantikan AJK ABIM Sarawak yang baharu.
Pelbagai perkara dibincangkan termasuklah berkaitan kerelevanan golongan muda untuk terus bergiat dalam aktiviti kesukarelaan dan menyertai persatuan belia.
Dalam pertemuan ini juga, ABIM Sarawak menghadiahi Datuk Hajjah Hafsah dengan senaskah buku terbitan terbaharu ABIM berjudul "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak".
Pertemuan ini turut dihadiri Zulrusdi Mohamad Hol, seorang tokoh pimpinan muda tempatan.
Datuk Hafsah Harun merupakan seorang tokoh pemimpin wanita Sarawak yang terampil dan berkaliber. Beliau merupakan anakanda kepada seorang tokoh pejuang nasionalisme Sarawak era anti-Serahan, Lily Eberwein.
Beliau giat dalam persatuan dan pergerakan wanita termasuklah pernah menjadi Pengerusi bagi Sarawak Federation of Women's Institute (SFWI) yang merupakan pertubuhan wanita terbesar di Sarawak yang ditubuhkan sejak tahun 1962.
Beliau juga bergiat dalam politik kepartian dan merupakan individu kedua dilantik sebagai Pengerusi Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), selepas penyandang pertamanya, Datuk Ajibah Abol meninggal dunia.
Beliau pernah dilantik menjadi Menteri Budaya, Belia dan Sukan pada tahun 1980-an sebelum menyertai Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) pada 1987 dan pengasas-pemimpin Parti Keadilan Nasional pada tahun 1998.





TAG