PERUTUSAN YANG DIPERTUA ABIM NEGERI SARAWAK
Sempena Maal Hijrah 1440H
1. Bismillahi wa 'l-hamdulillah wa bihi nasta'in. Segala puja-puji bagi Allah yang mengurniakan kita dengan nikmat usia dan memungkinkan kita mengorak langkahan ke tahun yang baharu.
2. Dalam kesempatan ini saya mewakili seluruh pimpinan ABIM Negeri Sarawak merakamkan ucapan salam Maal Hijrah kepada seluruh warga keluarga besar ABIM Sarawak dan agensi serta muslimin dan muslimat di bumi Sarawak yang tercinta ini.
3. Sesungguhnya peristiwa Hijrah membawa pengertian yang amat besar kepada umat islam. Penghijrahan kaum Muhajirin yang diketuai oleh Rasulullah SAW ke Kota Madinah disambut dan diraikan dengan penuh gembira oleh kaum Ansar.
4. Antara mesej yang penting dalam peristiwa tersebut adalah betapa tingginya ketaqwaan mereka kepada Allah serta kepercayaan mereka terhadap Rasulullah SAW. Ada dalam kalangan sahabat yang kaya sanggup untuk meninggalkan harta dan kekayaan untuk menyahut seruan hijrah dengan sehelai sepinggang. Ini jelas menunjukkan bahawa miskin harta bukanlah penghalang untuk mereka mentaati perintah Allah dan Rasul, kerana kekayaan jiwa adalah kekuatan hakiki yang menjadi kekuatan bagi mencapai segala-galanya.
5. Selain dari itu, nilai persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar yang begitu akrab amat wajar dicontohi. Ada diantara mereka yang sanggup memberi sebahagian dari harta mereka kepada golongan muhajirin untuk mencukupi keperluan mereka.
6. Sempena Maal Hijrah bagi tahun 1440H ini, amatlah wajar bagi umat Islam untuk berhijrah meninggalkan sifat-sifat mazmumah seperti pentingkan diri dan hawa nafsu, tamak haloba, bersangka buruk terhadap orang lain dan lain-lain. Walaupun kita tidak merasai kesusahan dan keperitan yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat, bukanlah alasan untuk kita melupakan pengorbanan mereka.
7. Akhir kalam, sekali lagi kami mengucapkan selamat meraikan Maal Hijrah 1440H. Semoga usaha dan amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT dan dikurniakan rahmat dan kasih sayang-Nya. Wassalam.
“Sejahterakan Sarawak”
Muhammad Hazim bin Azhari
Yang Dipertua
ABIM Negeri Sarawak
12 September 2018/ 02 Muharram 1440H
Tiada ulasan
Catat Ulasan