Resolusi Wacana Minda Pendidikan "Peranan Pemegang Taruh dalam Kemenjadian Murid" (10 Februari 2018)


Resolusi Wacana Minda Pendidikan ABIM Sarawak 10 Feb 2018



Pendidikan tidak harus terpinggir dalam wacana dan perbincangan isu-isu kemasyarakatan khususnya di Negeri Sarawak. Malah, mauduk ini wajar terus diangkat dan dipopularkan sehingga muncul gerakan kependidikan yang bersifat konsisten dalam kalangan masyarakat yang peduli dan sedar. Oleh itu, Wacana Minda Pendidikan pada 10 Februari 2018 menyarankan supaya:


1) kelompok masyarakat sedar pendidikan terus-menerus meraikan pelbagai aktiviti wacana, sarana sumbang saran dan kegiatan terkait pendidikan termasuklah kempen-kempen kependidikan yang positif dengan cara berperanserta dalam kegiatan tersebut dan menyebarkan manfaatnya kepada khalayak;

2) kelompok masyarakat sedar pendidikan ini wajar mempunyai suatu wadah atau forum bagi membincangkan isu-isu semasa terkait pendidikan secara konsisten bagi terus menyemarakkan kepedulian masyarakat;

3) kelompok masyarakat sedar pendidikan wajar mempromosikan inisiatif-inisiatif baik yang diperkenalkan oleh kerajaan di bawah pengelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia seperti sarana ibu bapa-murid serta sarana sekolah-ibu bapa dan rencana Penglibatan Ibu bapa dan Komuniti (PIBK) dalam pendidikan nasional;

4) kelompok masyarakat sedar pendidikan haruslah berusaha membugar ide dan gagasan pendidikan yang baik dan cuba diterapkan secara praktik dalam kegiatan seharian dan aktiviti kemasyarakatan;

5) kelompok masyarakat sedar pendidikan wajar membincangkan secara serius desakan bagi mengembalikan emula sistem dan perkaedahan pendidikan holistik dan bersepadu dalam pendidikan kebangsaan;

6) kelompok masyarakat sedar pendidikan perlu berganding bahu dan bekerjasama dengan agensi, badan atau institusi yang menjalankan kegiatan dan program pendidikan supaya matlamat Penglibatan Ibu bapa dan Komuniti (PIBK) dalam pendidikan nasional dapat direalisasikan.


Pembicara dan para peserta wacana merakamkan foto tanda kenang-kenangan 



TAG