Nilai, 21 Oktober 2018: Delegasi ABIM Sarawak telah menyertai Muktamar Belia Islam kali ke-47, bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dekat sini.
Muktamar Belia Islam (MBI) atau juga dikenali sebagai Muktamar Sanawi merupakan agenda tahunan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di peringkat kebangsaan.
Acara yang menghimpunkan kesemua perwakilan ABIM seluruh Malaysia ini membincangkan pelbagai perkara termasuklah pidato Ucapan Dasar Presiden ABIM berjudul "Malaysia Baharu: Mengangkat Aspirasi Rakyat, Memartabat Amanah Umat", pembentangan dan penerimaan laporan kegiatan tahunan ABIM seluruh Malaysia, perbahasan ucapan dasar, pembentangan dan perbahasan usul, serta sesi penggulungan dan penagguhan muktamar. Acara berlangsung selama tiga hari bermula 19 Oktober 2018.
Dalam perkembangan yang sama, bersempena Muktamar kali ini, dianjurkan juga Seminar Kebangsaan Visi Islam dalam Aspirasi Malaysia Baharu dan Makan Malam Relawan Malaysia pada 20 Oktober 2018, serta Sukan Perpaduan pada 21 Oktober 2018, juga bertempat di lokasi sama.
Seramai ribuan perwakilan dan pemerhati menghadiri muktamar kali ini. ABIM Negeri Sarawak yang diketuai Yang Dipertua, Sdr. Muhammad Hazim Azhari telah menghantar seramai 25 orang delegasi yang terdiri daripada 10 orang perwakilan ABIM Negeri Sarawak, lima orang perwakilan ABIM Daerah Kuching, lima orang perwakilan ABIM Daerah Samarahan dan lima orang perwakilan ABIM Daerah Bintulu.
ABIM Sarawak juga telah mengajukan dua usul dalam muktamar kali ini, di mana salah satu daripadanya telah diterima tanpa bahas.
Selain itu juga, Sdr. Mohammad Fazril bin Mohd Saleh, salah seorang perwakilan ABIM Negeri Sarawak telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa ABIM Pusat yang baharu berdasarkan peruntukan perkara 5 ceraian 5.1.3.4 Perlembagaan Angkatan Belia Islam Malaysia.
Klik pada pautan ini untuk koleksi penuh foto berkaitan:
Tiada ulasan
Catat Ulasan