ABIM Sarawak Sokong Penuh Jufitri sebagai Presiden MBM


Kuching, 01 Oktober 2018: Kehadiran Sdr. Jufitiri Joha ke Kuching untuk Dialog Belia anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) disambut oleh kira-kira lebih 50 orang pimpinan belia di Sarawak, khususnya di Bahagian Kuching.
Acara yang berlangsung di Kopi 'O' Corner, Satok ini menampilkan dua panelis iaitu Encik Jufitiri Joha (pimpinan MBM) dan YB Safiee Ahmad (Setiausaha Agung SABERKAS). Forum diteraju Encik Iszuan Haroni (Setiausaha Eksekutif SABERKAS) sebagai moderator.
ABIM Negeri Sarawak turut hadir dan berperanserta dalam forum tersebut di samping mengisytiharkan sokongan kuat kepada beliau yang menawarkan diri bertanding bagi jawatan tersebut.
Turut hadir dalam forum tersebut adalah YB Razi Sitam (exco SABERKAS), Encik Zaini Abdul Aziz (Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak), Encik Mohammad Fazril Mohd Saleh (Setiausaha ABIM Sarawak).
Acara yang berlangsung beberapa hari sebelum Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia (MBM) (04-06 Oktober 2018) ini memberi ruang kepada para pimpinan belia di Sarawak bagi mengekspresikan pandangan dan melontarkan kritik serta cadangan berkaitan perihal pembangunan belia di Malaysia khususnya di negeri ini.
Jufitri Joha juga menyatakan hasratnya untuk menawarkan diri bertanding kerusi Presiden Majlis Belia Malaysia dalam forum itu.
Dalam pemilihan MPAT MBM di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Kompleks TH Sepang, Selangor yang berlangsung beberapa hari setelahnya, lebih 300 perwakilan daripada 39 badan gabungan pertubuhan belia merentas agama, bangsa dan fahaman politik sebulat suara memilih Jufitri Joha sebagai Presiden tanpa sebarang pertandingan.
Sebelum ini, Jufitri Joha adalah Naib Presiden MBM, Naib Presiden ABIM (pimpinan Pusat), Tokoh Belia Negara 2014, Tokoh Belia ASEAN 2014, Ahli Dewan Tertinggi MBM 2011-2018, Pengasas dan Pengerusi Malaysia Life Line for Syria (sebuah badan bantuan kemanusiaan global), dan Pengasas Federasi Kebangsaan Kerja Belia Malaysia.
Beliau yang berusia 38 tahun adalah seorang belia berwawasan, dengan latar belakang pengajian undang-undang, Sarjana Muda Undang-undang UIAM dan Sarjana Pengajian Belia Universiti Durham UK. Bergiat aktif dalam kegiatan belia dan kesukarelawanan sejak zaman sekolah dan menyerlahkan bakat kepimpinan ketika di universiti.
Beliau juga merupakan seorang yang meminati kegiatan keilmuwan, dan juga giat dalam aktiviti kemasyarakatan. Bukan sekadar mudah mesra, dan sentiasa disenangi beliau juga mahir berpidato dan kata-katanya menarik hati pendengar. Beliau sering diundang dalam sesi ceramah di jabatan kerajaan dan program anjuran masyarakat. Di samping itu, beliau sering mewakili Malaysia dalam program melibatkan belia di peringkat antarabangsa.
Sokongan ABIM Sarawak terhadap Jufitri mendapat liputan akhbar Utusan Borneo edisi 05 Oktober 2018 (halaman 14). Ucapan tahniah atas kemenangan beliau menduduki jawatan Presiden MBM telah dirakamkan oleh ABIM Sarawak melalui Kenyataan Media ABIM Sarawak pada 08 Oktober 2018.
Majlis Belia Malaysia (MBM) merupakan badan induk yang menyelaras pertubuhan belia dan pelajar di Malaysia. Ia telah ditubuhkan sejak 70 tahun yang lalu iaitu pada 23 Julai 1948 di Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur.









TAG