KENYATAAN MEDIA ABIM NEGERI SARAWAK (08 OKTOBER 2018) - JUFITRI KINI PRESIDEN MBM: ABIM SARAWAK UCAP TAHNIAH DAN SELAMAT MAJU JAYA




KENYATAAN MEDIA
ABIM NEGERI SARAWAK
08 OKTOBER 2018

JUFITRI KINI PRESIDEN MAJLIS BELIA MALAYSIA: ABIM SARAWAK UCAP TAHNIAH DAN SELAMAT MAJU JAYA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak merujuk pengumuman rasmi pemilihan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Majlis Belia Malaysia (MBM) sesi 2018-2020 dalam Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) MBM kali ke-67 pada 06 Oktober 2018 yang lalu di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang, Selangor. Kami juga merujuk laporan akhbar Utusan Borneo edisi 05 Oktober 2018 berjudul “ABIM Negeri Sarawak Sokong Jufitri Bertanding Jawatan Presiden MBM”.

Dalam majlis tersebut, seramai 370 orang perwakilan berdaftar telah sebulat suara memilih Saudara Jufitri bin Joha sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi sesi kepemimpinan 2018-2020. Beliau merangkul jawatan tersebut tanpa sebarang pertandingan.

ABIM Negeri Sarawak dengan ini merakamkan ucapan tahniah atas pemilihan dan pelantikan tersebut. Kami yakin bahawa Saudara Jufitri sememangnya personel yang layak menduduki jawatan seterusnya meneraju pertubuhan induk belia tersebut demi kebangkitan baharu khalayak belia di Malaysia.

Jufitri yang kini juga merupakan Naib Presiden ABIM, merupakan pemimpin ABIM kedua yang dipilih sebagai Presiden MBM selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menduduki jawatan sama pada 1972-1976. Sebelumnya beliau merupakan Naib Presiden MBM bagi sesi yang lalu.

Dengan latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang (Sarjana Muda Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dan bidang kajian belia (Sarjana Kajian Kerja Belia Universiti Durham United Kingdom), beliau bergiat aktif dalam aktiviti keilmuan, kependidikan dan kemasyarakatan. Sewaktu zaman mahasiswa, beliau merupakan pimpinan pertubuhan pelajar peringkat nasional, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Selain menjadi Naib Presiden ABIM, beliau juga adalah Pengerusi Federasi Kebangsaan Kerja Belia Malaysia, dan Pengasas-Pengerusi Malaysia Life Line for Syria (MLLFS) sebuah badan bantuan kemanusiaan global yang aktif di peringkat antarabangsa. Pada tahun 2014, beliau dipilih sebagai Tokoh Belia Negara peringkat Kebangsaan dan merangkul anugerah Tokoh Belia ASEAN di peringkat rantau Asia Tenggara, juga dalam tahun yang sama.

Dalam perkembangan yang sama, seorang lagi pemimpin ABIM, Saudara Hasnul Haniff bin Harun juga telah dipilih menduduki jawatan Setiausaha Agung MBM, juga dalam pemilihan yang sama. Bagi kami, beliau merupakan gandingan terbaik bagi membantu Jufitri mengemudi belia di Malaysia.

Kami juga dengan ini menyatakan sokongan kami terhadap kenyataan Yang Berhormat Encik Syed Sadiq Syed Abdul Rahman yang menyokong penuh cadangan MBM untuk mengangkat Presiden majlis itu sebagai Senator di Dewan Negara bagi membawa suara golongan belia. Beliau dilaporkan berkata demikian dalam majlis yang sama. MBM yang ditubuhkan sejak tahun 1948 diiktiraf sebagai badan induk yang mewakili belia di negara ini dan dinaungi sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

Dalam kesempatan ini juga, kami merakamkan rasa berbahagia dan penghargaan kami kepada MBM kerana telah menganugerahi Almarhum Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin, seorang bekas pimpinan ABIM dan MBM dengan Pingat Bakti Belia Malaysia atas jasa dan pengorbanannya dalam kegiatan dan perkembangan belia di Malaysia. Pingat disampaikan oleh YB Encik Syed Sadiq Syed Abdul Rahman kepada wakil anggota keluarga beliau. Beliau yang juga merupakan mantan ADUN Seri Setia dan EXCO Kerajaan Negeri Selangor telah kembali ke Rahmatullah pada 02 Ogos 2018 yang lalu. Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Samarahan dan bergiat aktif dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan di negeri ini.

Kami berharap agar MBM akan terus proaktif dalam membangun belia di Malaysia termasuklah di Negeri Sarawak. Kepada Saudara Jufitri Joha, Saudara Hasnul Haniff dan para pimpinan baharu MBM, selamat maju jaya kami ucapkan.


“BELIA BERTINDAK DEMI KEBENARAN DAN KEADILAN”

"SEJAHTERAKAN SARAWAK"

Muhammad Hazim bin Azhari
Yang Dipertua
ABIM Negeri Sarawak

08 Oktober 2018


No. Fon:  011-61783206
Emel: abimsasar@gmail.com

TAG