KENYATAAN
MEDIA
ABIM NEGERI
SARAWAK
30 OGOS 2018
MAKLUM BALAS TERHADAP JAWAPAN DATO' SRI MICHAEL MANYIN: ABIM SARAWAK RAKAM PENGHARGAAN
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri
Sarawak merujuk laporan berita oleh akhbar The Borneo Post bertarikh 30 Ogos
2018 berjudul "Avoid making misleading statement of your own"
(halaman 6).
Laporan akhbar tersebut melaporkan kenyataan
balas Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) YB
Dato' Sri Michael Manyin Jawong atas Kenyataan Media yang kami terbitkan pada
28 Ogks 2018 bertajuk "Merencana Kecemerlangan Pendidikan Sarawak: MESTR
Perlu Berpandukan Data dan Kajian".
Kami merakamkan penghargaan dan ucapan terima
kasih atas maklum balas Dato' Sri Michael Manyin tersebut. Bagi kami, jawapan
balas itu dapat menghuraikan kekusutan dan kekeliruan atas pernyataan beliau
sebelum ini yang mendakwa Kementerian Pendidikan Malaysia bertindak tidak adil
kepada warga pendidik termasuk Guru Besar dan Pengetua kerana tidak memberikan
latihan dan kursus secara berterusan, tetapi mengharapkan keputusan cemerlang
daripada setiap sekolah.
Justeru, dapat difahami bahawa beliau tidak
bermaksud Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertindak tidak adil kepada
guru kerana tidak memberikan latihan atau kursus, kerana beliau sendiri
mengakui bahawa adanya 'Latihan dalam Perkhidmatan' yang wajib dihadiri oleh
guru selama tujuh 'hari' setahun (sila rujuk Garis Panduan Pengoperasian
Latihan dalam Perkhidmatan Kementerian Pelajaran Malaysia Bagi Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan, yang dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Guru KPM
pada tahun 2009), dan penyertaan pemimpin guru dalam program Program Kelayakan
Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NQPL) dan Program 'Residency' dan
'Immersion' (PRIme), sebagaimana yang dinyatakan dalam Kenyataan Media kami
tempoh hari.
Ini bermakna, program latihan dan pengukuhan
profesionalisme ada dianjurkan dan dijalankan oleh KPM walaupun mungkin ada
kelemahan dan kekurangan di sana sini. Dalam erti kata lain, kenyataan beliau
pada 27 Ogos sebagaimana dilaporkan akhbar bermaksud bahawa beliau berpandangan
KPM tidak memberikan latihan peningkatan profesionalisme guru yang mencukupi,
bukan tiada langsung. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri di bawah seliaan
kementeriannya membantu pihak KPM dalam mengendalikan sesi-sesi latihan
peningkatan kualiti pendidikan khasnya di negeri ini.
Dalam perkembangan yang sama, pihak ABIM Negeri
Sarawak memikirkan adalah lebih baik jika MESTR dapat mengikuti jejak langkah
KPM dalam konteks pemberian akses kepada khalayak awam terhadap maklumat
perencanaan, pelan strategi dan juga laporan penilaian program pemantapan
pendidikan anjuran MESTR. Ini dapat menggalakkan peranserta pemegangtaruh yang
lain seperti ibu bapa dan komuniti. Pihak kami yakin MESTR dapat
melaksanakannya berdasarkan kapasiti, kelengkapan dan kepakaran yang mereka
punyai.
ABIM Negeri Sarawak juga sentiasa mendoakan
kejayaan MESTR dalam membangun kecemerlangan pendidikan di Sarawak. Di samping
itu, kami merakamkan rasa berbahagia atas kesediaan Dato' Sri Michael Manyin
untuk menjalin 'hubungan kerjasama langsung' dengan pihak kami. Kami menyatakan
kesediaan kami untuk tujuan tersebut. Sebagai pertubuhan bukan kerajaan,
pertubuhan belia dan kelompok 'masyarakat peduli pendidikan', ABIM Negeri
Sarawak akan sentiasa berusaha dalam kapasiti dan kemampuan kami untuk membantu
membangun masyarakat di negara ini, khususnya Negeri Sarawak yang kita cintai.
"SEJAHTERAKAN SARAWAK"
Mohammad
Fazril bin Mohd Saleh
Setiausaha
ABIM Negeri Sarawak
30 Ogos 2018
No.
Fon: Mohammad Fazril Saleh (013-2775313)
Emel:
abimsasar@gmail.com
Tiada ulasan
Catat Ulasan