Kuching, 27 Oktober 2018: ABIM Negeri Sarawak telah berperanserta dan menjayakan agenda Mosque Open Day, anjuran bersama NGO-NGO Islam di Sarawak.
Program yang julung-julung kali diadakan ini melibatkan sasaran daripada segmen masyarakat yang pelbagai.
Antara matlamat program ini adalah memberi ruang kepada masyarakat non-Muslim untuk mengenali lebih lanjut tentang hakikat Islam di samping memberikan latihan kejurulatihan kepada para penggerak pertubuhan Islam khususnya dalam kontek menjadi jurucakap bagi pihak Islam dalam menjelaskan persepsi salah yang tersebar dalam kalangan masyarakat tentang agama Islam.
Selain sesi ceramah dan pameran, program ini juga dipelbagaikan dengan aktiviti latihan kejurulatihan pendakwah, street-dakwah dan kembara kuliah.
ABIM Sarawak ditugaskan untuk dua segmen daripada keseluruhan program iaitu Kembara Kuliah Maghrib Ustaz Syazwan Menon di Masjid Darul Ibadah Batu Kawa, dan menjadi juru taklimat bagi salah satu stesen di majlis Mosque Open Day di Masjid Wan Alwi, Tabuan.
Ketua Biro Ekonomi ABIM Sarawak, Puan Ezzatul Islam Khalidi telah berperanan dengan cemerlang sebagai juru taklimat bagi stesen "Pembuktian Penciptaan Alam dalam al-Quran dan Sains Tabii".
Program ini diharap dapat diteruskan di lokasi-lokasi lain di samping meluaskan skop kegiatan program agar kemanfaatannya dapat dirasai bersama dan dakwah Islam di bumi Sarawak dapat terus disuburkan.
Tiada ulasan
Catat Ulasan