Usrah Rijal Bil. 3: Wacana Khas bersama Sarjana Bahasa dan Tokoh Pendidik Prof Datuk Dr. Awang Sariyan


Kuching, 07 Oktober 2018: Angkatan rijal ABIM Negeri Sarawak terus komited dengan agenda tarbiyah dan keintelektualan dengan melanjutkan rutin saban minggu menganjurkan usrah rijal. Usrah atau program perbincangan mingguan yang berbentuk kekeluargaan ini telah masuk siri ke-3 bagi sesi kepemimpinan baharu 2018/2019.
Usrah Rijal siri-3 telah diadakan di Kediaman Ustaz Suharman Edward, mantan Yang Dipertua ABIM Sarawak di Taman Lebunda, Kuching. Usrah kali ini menampilkan tamu khas yang merupakan seorang sarjana dan tokoh pendidik Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan.
Usrah adalah program perbincangan ilmu dan isu semasa berkala (mingguan) dalam kalangan pimpinan belia Islam. Usrah kali ini membahaskan isu-isu utama berkaitan pancang negara - hal ehwal pendidikan, jati diri, bahasa, sosial, ekonomi era Malaysia Baharu.
Kehadiran tokoh-tokoh yang berkunjung ke Negeri Sarawak dimanfaatkan untuk bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan pedoman-pedoman. Prof Datuk Awang Sariyan hadir ke Kuching atas undangan DBP Cawangan Sarawak untuk menyampaikan Syarahan Perdana dan menyempurnakan perasmian Karnival Intelek anjuran DBP Sarawak pada 08 Oktober 2018.
Acara bermula selepas Solat Isyak dengan bacaan zikir al-Mathurat yang menjadi tradisi warga ABIM dalam memulakan pertemuan. Majlis diteraju Setiausaha ABIM Negeri, Sdr Mohammad Fazril Mohd Saleh.
Kemudiannya, acara dilanjutkan dengn pembahasan ayat-ayat al-Quran terpilih, dipimpin oleh Ustaz Mohamad Raufa Irman Abd Raub, Timbalan Yang Dipertua ABIM Sarawak.
Usai tadabbur ayat-ayat suci al-Quran, Ustaz Suharman Edward selaku tuan rumah menyampaikan ucapan sambutan. Beliau merupakan mantan Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak yang kini berkhidmat sebagai Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Program diteruskan lagi dengan pengisian oleh YBhg Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkaitan perihal isu-isu semasa khusus terkait pancang-pancang negara (hal ehwal Pendidikan, jati diri, agama, bahasa, sosial dan ekonomi) dalam era Malaysia baharu.

Antara intipati wacana dan perbahasan usrah kali ini:
1. Cabaran pasca PRU14, rakyat Malaysia lebih bebas bersuara dan berpendapat. Suatu perkembangan positif.
2. Walaupun begitu, teras2 utama negara-bangsa jangan sampai dirobek.
3. Pancang-pancang negara wajar dipertahan dan diperkukuh dlm klgn warga khususnya generasi muda.
4. Pendidikan sebagai proses pembelajaran spnjg hayat, mencelikkan warga tentang asas penubuhan negara bangsa yg dipasak oleh pancang-pancang nusa seperti nilai-nilai Islam sebagai landasan nilai murni masyarakat Malaysia, Bahasa Melayu sebagai salah satu medium perpaduan rakyat berbilang kaum, pengukuhan jatidiri melalui kesedaran sejarah negara-bangsa dan rasa kepunyaan trhdp negara, dan dasar-dasar sosioekonomi bagi merapatkan jurang pendapatan rakyat tanpa mengira kaum.
5. Sarawak sebagai model perpaduan rakyat Malaysia.

Biodata Ringkas Prof Datuk Dr Awang Sariyan:
1. Kini Profesor Pengajian Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Peradaban Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
2. Sebelum ini Penyandang Kerusi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University, Beijing Republik Rakyat China.
3. Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
4. Penggubal kurikulum dan buku teks bahasa Melayu
5. Menulis lebih 50 buah buku, ratusan artikel ilmiah
6. Pernah mengajar di UPM, UIAM, UKM, UM, UPSI, Uni Brunei Darussalam (UBD), Beijing Foreign Studies University, China
7. Aktif dalam kegiatan NGO dan kemasyarakatan,

Usrah dihadiri oleh wakil-wakil pimpinan ABIM Negeri, Daerah dan Cawangan di Sarawak. Turut hadir dalam sesi ini adalah Dr. Hj. Shantrol Abdullah, pegawai kanan Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak, Ustaz Suhardi Edward Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah Tahfiz Agama Ar-Razi Kuching dan Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin Ketua Pegawai Eksekutif Aplus Management and Corporate Services.






















TAG