Kuching, 25 Oktober 2018: Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM Sarawak yang diketuai Yang Dipertua Sdr. Muhammad Hazim Azhari telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak, bertempat di Pejabat Menteri Muda Utiliti, Bangunan LCDA, dekat sini.
Pertemuan hampir dua jam itu turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Mohamad Raufa Irman Abd Raub dan Setiausaha Negeri Sdr. Mohammad Fazril Mohd Saleh.
Kunjungan ini bertujuan mengundang Yang Berhormat Menteri Muda sebagai Perasmi bagi Majlis Konvokesyen TASKI ABIM Kuching/Samarahan yang bakal berlangsung 17 November akan datang. Beliau telah menyatakan persetujuannya untuk hadir merasmikan Konvokesyen tersebut bagi sesi petang yang dijadualkan berlangsung di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak.
Selain itu, rombongan pimpinan ABIM Sarawak turut memperkenalkan barisan pimpinan ABIM Negeri yang baharu dilantik dalam Muktamar ABIM Negeri kali ke-39 pada awal Ogos yang lalu.
Pada 04 Ogos yang lalu, Yang Berhormat telah hadir merasmikan program Majlis Peringatan Haul 100 tahun Shaykh Uthman Abdul Wahab al-Sarawaqi, anjuran bersama ABIM Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak. Beliau sendiri merakamkan penghargaan atas penganjuran majlis tersebut kerana dengan kehadiran beliau dalam majlis itu, beliau sendiri mendapat manfaat dan dapat mengenali dengan lebih mendalam akan tokoh kelahiran Sarawak yang sehebat itu.
Pelbagai perkara lain turut dibincangkan. Antaranya termasuklah beberapa cadangan kegiatan dan agenda mendatang ABIM Sarawak, antaranya projek kepengarangan biografi ulama Nusantara, pemeliharaan manuskrip lama melalui agenda masyarakat penaskahan Nusantara, agenda advokasi sosial khasnya dalam aspek kesedaran penjagaan kesihatan reproduktif dalam kalangan belia dan penanganan permasalahan kesihatan mental, konvensyen siswazah muda dan banyak lagi.
Dalam masa yang sama, pimpinan ABIM Sarawak menyambut baik cadangan Yang Berhormat Datuk untuk menyelaras kegiatan NGO-NGO Islam di Sarawak dalam memastikan keberkesanan agenda dakwah dan kebajikan di samping membantu NGO dalam aspek pendanaan dan tenaga kepakaran.
Pada pandangan pihak ABIM Sarawak, adalah menjadi kewajiban bagi otoriti agama di Negeri ini memberikan bantuan kewangan dan lain-lain keperluan kepada NGO Islam atas sebab pertubuhan-pertubuhan ini membantu otoriti menjalankan pertanggungjawabkannya dalam konteks Islam dan masyarakat Muslim di Sarawak. Justeru, cadangan seumpamanya adalah sangat dialu-alukan.
Dalam perkembangan yang berlainan, Yang Dipertua juga, bagi pihak dan mewakili seluruh warga ABIM tidak ketinggalan merakamkan ucapan tahniah atas pengurnian darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang yang membawa gelaran Datuk kepada beliau yang diterima daripada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak, sempena Hari Jadi yang ke-82 TYT YDP, pertengahan Oktober lalu.
Yang Berhormat Datuk juga menyatakan rasa gembira dan berbahagia beliau melihat perkembangan positif dalam kalangan penggerak belia Islam di negeri ini. Beliau memberikan komitmen untuk sama-sama membantu membangunkan para pemimpin muda dan belia untuk memastikan kelangsungan kualiti kepemimpinan yang bakal meneraju negeri ini pada masa depan.
ABIM Sarawak juga turut menghadiahi Yang Berhormat senaskah penerbitan terbaharu ABIM Sarawak berjudul "Nafahat al-Ridwan: Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak".
Tiada ulasan
Catat Ulasan