Jalinan Silaturrahim Dua Wilayah: Kunjungan Balas Dewan Da'wah Islamiah Indonesia (DDII) cabang Kabupaten Sambas terhadap ABIM Sarawak
Kuching, 30 Disember 2018: ABIM Negeri Sarawak telah menerima kunjungan daripada Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia (DDII) cabang Kabupaten Sambas, bertempat di Sekretariat ABIM Sarawak (SASAR), Taman Sri Wangi, di sini.
Rombongan seramai sembilan orang (tujuh lelaki dua wanita) yang diketuai oleh Bapak Haji Satono, Ketua Dewan Da'wah Islamiah Indonesia cabang Kabupaten Sambas itu merupakan kunjungan balas DDII Kabupaten Sambas terhadap ABIM Sarawak yang telah bertandang ke Sambas pada awal Disember lalu.
Beliau yang juga merupakan Sekretaris Jabatan Tenaga Kerja Kabupaten Sambas itu hadir bersama rombongan dengan menggunakan jalan darat dari Kota Sambas masuk ke Kuching, yang hanya memakan masa sekitar tiga jam sahaja.
Tujuan kedatangan rombongan DDII Sambas ke Sekrerariat ABIM Sarawak adalah untuk:
1) Membalas kunjungan ABIM Sarawak yang bertandang ke Sambas pada 04-07 Disember 2018
2) Memperkukuh jalinan persaudaraan dalam kalangan pertubuhan Islam dalam kawasan kepulauan Borneo.
3) Membincangkan rencana kerjasama dalam bentuk pelatihan dan program-program (rujuk resolusi)
Rombongan DDII Sambas tiba di Sekretariat ABIM Sarawak seawal jam 09:00 pagi, disambut oleh Yang Dipertua ABIM Sarawak, Sdr Muhammad Hazim Azhari dan barisan pimpinan ABIM Sarawak. Acara dimulakan dengan Ucapan Sambutan oleh Timbalan Yang Dipertua ABIM Sarawak, Ustaz Mohamad Raufa Irman Abdul Raub dan disusuli Ucapan Pernyataan Hajat Kedatangan oleh Ketua Dewan Da'wah Islamiah Indonesia (DDII) cabang Kabupaten Sambas, Bapak Haji Satono.
Majlis dilanjutkan kemudiannya dengan minum pagi bersama dan sesi sumbang saran serta perbincangan. Pertemuan ditamatkan pada jam 01:00 petang, dan pada malamnya, rombongan DDII Sambas dibawa untuk menikmati Makan malam bersama di Restoran Impiana House.
Kabupaten Sambas merupakan sebuah wilayah perbatasan antarabangsa antara Indonesia dan Malaysia. Secara budaya, masyarakat Melayu Sarawak berkongsi persamaan malah mempunyai pertalian persaudaraan dengan kelompok Melayu Sambas.
Peluang pelatihan, ekonomi dan pembangunan antara dua wilayah bersempadan (Sarawak-Sambas) terbuka luas. Secara tradisi, hubungan ABIM dengan Dewan Da'wah Islamiah Indonesia telah berlangsung sekian lama, sejak hampir 50 tahun yang lalu.
Turut hadir dalam pertemuan ini adalah Mohammad Fazril Mohd Saleh (Ahli Jawatankuasa ABIM Pusat), Wan Azizan Wan Zainal Abidin (Pengerusi Koperasi Sri Madani), Sharifah Afifah Wan Morsidi (Ketua HELWA ABIM Sarawak), dan Tuan Haji Raslie Saharan (Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia bagi Negeri Sarawak).
Pertemuan ini turut mendapat liputan akhbar tempatan Utusan Borneo, Edisi 11 Januari 2019 (Halaman 7).
=================================
Latar Belakang Kunjungan ABIM Sarawak ke Kabupaten Sambas pada 04-07 Disember 2018
1. Diwakili oleh Mohammad Fazril Mohd Saleh dan Mihamad Raufa Irman, ABIM Sarawak mengikuti Seminar Percepatan Pembangunan Perbatasan Sambas anjuran Institut Agama Islam Sultan Syafiuddin (IAIS), Sambas.
2. Usai seminar, beberapa perbincangan usahasama antara ABIM Sarawak dengan IAIS, Dewan Da'wah Islamiah Indonesia cabang Kabupaten Sambas, Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia cabang Sambas diadakan.
3. Delegasi ABIM Sarawak juga turut menelusuri sejarah kebudayaan Sambas di samping mencari informasi berkaitan tokoh ulama Islam di sana, termasuklah anak didik kepada ulama besar kelahiran Sarawak yang mengajar di Masjidil Haram pada penghujung abad ke-19, Shaykh Haji Uthman Abdul Wahab.
==================================
[Resolusi Pertemuan ABIM Sarawak - DDI Sambas]
¶ 30 Disember 2018
¶ Sekretariat ABIM Sarawak (SASAR) Tmn. Sri Wangi, Kuching
1. ABIM Sarawak dan DDI Sambas bersepakat untuk melanjutkan hubungan kerjasama antara kedua-dua organisasi melalui program atau kegiatan bersama dalam tiga kategori: i) melanjutkan perbincangan tentang perencanaan dakwah bersama dalam segala kesempatan yang mungkin; ii) salah satu pihak menyertai program yang dianjurkan pihak satu lagi; ii) merencana program khas anjuran bersama.
2. Kedua-dua pihak bersetuju dan bersepakat untuk merangka "Pelan Strategik bagi Pergerakan Dakwah Sarawak-Sambas" atau apa-apa nama yang difikirkan sesuai pada masa depan, dengan tujuan merencana secara terprojeksi dan berfokus, khususnya dalam projek pelatihan dan pemposisian para da'i di pedalaman masing-masing wilayah.
3. Kedua-dua pihak bersetuju untuk menganjurkan secara bersama wacana dan seminar "Menyingkap Sejarah Islam" bagi kedua-dua wilayah, di samping menggiatkan penerbitan buku-buku ilmiah dan dakwah.
4. Kedua-dua pihak bersepakat menjalin kerjasama serius dalam mengenalpasti potensi-potensi ekonomi yang dapat dimanfaat dan dikembangkan oleh kedua-dua pihak, seterusnya membangunkan instrumen bagi pelaksanaannya.
Disediakan oleh:
Sekretariat ABIM Negeri Sarawak
Resolusi ini disepakati bersama antara:
Muhammad Hazim Azhari
Yang Dipertua
ABIM Negeri Sarawak
Haji Satono
Ketua
Dewan Da'wah Islamiah Indonesia (DDI)
Kabupaten Sambas
Tiada ulasan
Catat Ulasan