KENYATAAN
MEDIA
ABIM NEGERI
SARAWAK
26 DISEMBER
2018
PROJEK TIGA JAMBATAN: ABIM SARAWAK GESA SEGERAKAN RUNDINGAN SERIUS
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri
Sarawak merujuk laporan berita Utusan Borneo edisi 21 Disember 2018 dengan
judul “Kekangan Kewangan, Pembinaan Tiga Jambatan Ditangguh”, dan laporan
berita akhbar sama edisi 22 Disember 2018 dengan judul “Tiga Jambatan Tetap
Dibina”.
Kedua-dua laporan akhbar tersebut menyiarkan
polemik pembinaan tiga projek jambatan di kawasan pesisir Sarawak yang telah
diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum Pilihanraya Umum ke-14, merangkumi
kawasan Rambungan, Batang Lupar dan Batang Igan.
Menteri Kerja Raya Malaysia YB Baru Bian, dalam
kunjungannya ke Mukah baru-baru ini dilaporkan berkata tiga projek jambatan
tersebut ditangguhkan dan dimasukkan dalam senarai penilaian semula akibat
kekangan kewangan. Kenyataan ini mendapat tindak balas yang pelbagai dalam
kalangan khalayak termasuklah respon daripada Menteri Muda Jalan Pesisir
Sarawak YB Datuk Julaihi Narawi yang bertegas bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan
dan mengambil alih projek tiga jambatan tersebut. YB Datuk Julaihi juga
mengakui bahawa Kerajaan Perekutuan telah mengajukan pemberitahuan bertulis
kepada Kerajaan Negeri berhubung status penangguhan projek-projek berkenaan.
Sehubungan dengan itu, ABIM Negeri Sarawak
melihat polemik ini sebagai suatu situasi yang merugikan rakyat Sarawak.
Sewajarnya para pemimpin dari Negeri ini sama-sama berusaha dan berganding bahu
melayani keperluan rakyat yang masih sangat memerlukan kemudahan-kemudahan asas
seperti jaringan perhubungan darat yang baik dan efisen.
Kami yakin bahawa rata-rata rakyat memahami
kekangan kewangan yang dihadapi Kerajaan Persekutuan sehingga terpaksa menilai
semula banyak projek infrastruktur awam. Kami juga percaya bahawa Kerajaan
Persekutuan pastinya telah melakukan hitungan dan penilaian semula kos
tanggungan selanjutnya memberi keutamaan kepada projek-projek yang dirasakan
penting dan utama pada pertimbangannya.
Walau bagaimanapun alasan ‘kekangan kewangan’ sebagai
justifikasi bagi menangguhkan suatu keperluan rakyat terbanyak adalah terlalu simplistik.
Jika benar perlu penangguhan, adalah baik sekiranya disokong dengan fakta
seperti analisis kos-faedah projek sebagai alat pembuat keputusan yang lebih
meyakinkan.
Namun begitu, besar kemungkinan terdapatnya
cara dan kaedah bagi mengatasi permasalahan ini, salah satunya dengan
mempertimbang saranan dan tawaran Kerajaan Negeri bagi mendahulukan pembiayaan
projek tiga jambatan ini, dan pembayaran semula dapat dilakukan secara
berperingkat oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri termasuk dengan
cara pemotongan hutang Negeri kepada Persekutuan – sekiranya ia suatu kaedah
yang mungkin dapat dilaksanakan.
Kami percaya, kesemua pemimpin yang terlibat
dalam polemik ini – walau berbeza ideologi dan platform politik – sangat
memahami keperluan rakyat terbanyak negeri ini dan sangat menginginkan
projek-projek pembangunan di negeri ini berlangsung dengan jayanya demi manfaat
bersama.
Oleh yang demikian, dengan berpegang kepada
semangat “Malaysia Baharu”, ABIM Negeri Sarawak menggesa agar rundingan serius bagi
pembinaan projek tiga jambatan ini diadakan antara Kerajaan Persekutuan dengan
Kerajaan Negeri, demi kepentingan rakyat Sarawak.
"SEJAHTERAKAN SARAWAK"
Muhammad
Hazim bin Azhari
Yang Dipertua
ABIM Negeri Sarawak
26 Disember 2018
No.
Fon: 011-61783206
Emel: abimsasar@gmail.com
Laman Web:
abimsarawak.org
Tiada ulasan
Catat Ulasan