Kota Samarahan, 20 Disember 2018: ABIM Negeri Sarawak dengan kerjasama pihak jawatankuasa masjid dan surau serta komuniti masyarakat setempat sekitar Kuching dan Samarahan telah menganjurkan siri jerayawara ceramah perkongsian pengalaman misi kemanusiaan di Palu, Sulawesi Indonesia.
Ceramah disampaikan oleh Tuan Wan Azizan Wan Zainal Abidin, aktivis ABIM Sarawak yang juga merupakan Penyelaras Malaysia Relief Agency (MRA) yang telah dipertanggungjawabkan mengetuai Misi Kemanusiaan di Palu pada 25 November 2018 hingga 09 Dismeber 2018.
Jerayawara ini berlangsung pada 13, 14, 19 dan 20 Disember 2018 di empat lokasi: Masjid Nurul Khair, Kampung Samariang Batu; Surau Nurul Ikhsan, Kampung Baru, Sebuyau; Masjid Darul Iman, Kampung Sri Arjuna, Puncak Borneo; dan Masjid Pehin Sri Haji Adenan, Lundu.
Jerayawara ini mensasarkan beberap objektif dalam penganjurannya, antara lain:
1) Berkongsi pengalaman menyampaikan bantuan kemanusiaan di lapangan bencana;
2) menceritakan pengajaran di sebalik kejadian bencana gempa bumi, tsunami dan likuifaksi yang berlaku di Palu, Sulawesi;
3) memberi kesedaran kepada khalayak tentang kepentingan membantu mereka yang terjejas akibat bencana.
Misi bantuan kemanusiaan di Palu ini telah dipimpin oleh Tuan Wan Azizan Wan Zainal Abidin selama dua minggu bermula 25 November sehingga 09 Disember 2018. Misi kali ini adalah misi ketiga Malaysia Relief Agency (MRA) dengn fokus utama menyampaikan bekalan makanan dan air bersih serta menyelia projek pam air.
Selain itu, lawatan ke kem-kem sementara penduduk terjejas bencana turut dilakukan. Motivasi dan semangat disampaikan kepada penduduk terjejas. Projek sekolah sementara juga dilaksana bersama-sama NGO dari Perancis.
Lawatan ke kawasan terjejas teruk akibat bencana di Pantai Kota Palu, Petobo dan Balaroa turut dilakukan. Di lokasi ini telah berlaku tiga kejadian bencana berlaku di Palu sejak 28 September 2018 yang lalu iaitu gempa bumi, tsunami dan likuifaksi (gelongsoran tanah).
Dalam kejadian lebih tiga bulan yang lalu itu, sejumlah 2,000 mayat mangsa ditemui tetapi ribuan lagi tertimbus di dalam tanah. Sebahagian kawasan terjejas seakan-akan musnah ditelan bumi. Ribuan keluarga hilang tempat tinggal, ditempatkan di khemah ssmentar yang mungkin didiami selama tiga tahun, sebelum pembangunan semula Palu selesai.
Bagi pihak penganjur iaitu ABIM Negeri Sarawak, beberapa perancangan akan datang bakal dirangka, antaranya ABIM Sarawak akan dianjurkan sesi jerayawara ceramah perkongsian di bahagian lain di Sarawak dan akan dianjurkan juga Bengkel Sukarelawan Kemanusiaan pada awal tahun depan bagi melatih lebih ramai sukarelawan untuk menyertai misi-misi bantuan kemanusiaan tempatan dan antarabangsa.
Rakaman Video syarahan boleh diakses di https://www.facebook.com/ABIMNEGERISARAWAK/
Tiada ulasan
Catat Ulasan