Pamer Keindahan Islam: ABIM Sarawak Sertai Persidangan Antarabangsa "Masjid Tourism"


Bangi, 20 Disember 2018: ABIM Negeri Sarawak dengan diwakili Timbalan Yang Dipertua Ustaz Mohamad Raufa Irman dan Setiausaha Negeri Sdr. Mohammad Fazril Saleh telah berperanserta dalam Konferens Antarabangsa tentang "Masjid Tourism", bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), di sini.

Persidangan tiga hari yang bermula sejak 18 Disember 2018 itu disertai oleh delegasi-delegasi daripada 13 buah negara, antaranya Turki, India, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Taiwan, China, Hong Kong, Thailand, Sri Lanka, Bahrain dan Negara Brunei Darussalam.

Persidangan anjuran bersama Islamic Outreach ABIM, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya ini bertujuan mengumpulkan tenaga dan kepakaran dari seluruh duni bagi memperkukuh konsep Pelancongan Masjid dan pengamalannya secara profesional.

Pelbagai perkara dibahaskan dalam sesi persidangan, antaranya termasuklah perkongsian pengalaman Malaysia dalam menggerakkan agenda "Mosque Tour-Guide Program", agenda menjadikan Malaysia sebagai tumpuan pelancongan Islamik dunia, pengurusan operasi piawai bagi pengendalian Program Mosque Tour Guide dan perkongsian pengalaman daripada para delegasi eluruh dunia.

Selain pembentangan makalah dan perbincangan, program ini turut diselitkan dengan sesi lawatan ke beberapa tempat utama tarikan pelancong dan Masjid-masjid yang menganjurkan program Mosque Tour Guide termasuklah Masjid Putra (Putrajaya), Masjid Tuanku Zainal Abidin (Masjid Besi), Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Biru Shah Alam) dan Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, Sdr. Mohammad Fazril Mohd Saleh Setiausaha Negeri ABIM Sarawak juga telah mewakili ABIM Sarawak dalam sesi persidangan meja bulat bagi cadangan penubuhan Centre of Excellence on Masjid Tourism yang turut dihadiri oleh wakil daripada Islamic Tourism Centre, Kementerian Kesenian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia.

Dalam sesi itu, Islamic Outreach ABIM Centre yang juga merupakan penganjur utama program telah diberi kepercayaan untuk mengetuai Centre of Excellence yang bakal ditubuhkan bagi mengkoordinasi pergerakan, latihan dan pengendalian Mosque Tour Guide Program seluruh dunia.

ABIM Negeri Sarawak juga diberi kepercayaan bagi merintis Mosque Tour Guide Program di Sarawak. Oleh sebab itu, ABIM Sarawak merencana beberapa langkah seperti pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan dan penganjuran sesi latihan untuk memastikan agenda ini terlaksana di bumi Sarawak.












TAG