Peduli Bantu Remaja: ABIM Sarawak Anjur Bengkel Kejurulatihan DERMAGA


Kuching, 02 Disember 2018: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah menganjurkan Bengkel Latihan Kejurulatihan (TOT) bagi Program Dirimu Permata Berharga (DERMAGA), bertempat di Bilik Seminar Kuching, Metrocity, di sini.
Seramai 30 orang peserta yang terdiri dalam kalangan mahasiswa, guru dan aktivis ABIM telah menyertai program yang berlangsung dua hari berturut-turut ini.
"Diriku Permata Berharga" (DERMAGA) lahir dari keprihatinan tinggi terhadap kesedaran dan pendidikan reproduktif dalam kalangan remaja. DERMAGA diilhamkan bagi membantu mengukuh kefahaman dan menyampai maklumat berkaitan kesihatan reproduktif remaja.
Selain itu, DERMAGA membantu memahamkan bahawa remaja juga punya tanggungjawab menjaga diri sendiri. Ia juga membantu bagi membekalkan remaja dengan kaedah mengelakkan diri setelah mengenal pasti tingkah laku berisiko atas sebab diri atau orang lain yang boleh mendekatkan diri pada risiko keselamatan diri.
DERMAGA hadir menyantuni keperluan pendidikan dan pencegahan - "informal social control' melalui perkongsian dan pesan yang lebih dekat dengan anak-anak. Oleh yang demikian, ABIM berhasrat mempersiap kumpulan sokong- bantu dalam proses pemberdayaan peranan dan pengetahuan sesama anggota masyarakat.
Tiga orang jurulatih dibawa khas daripada Pusat DERMAGA ABIM bagi mengendalikan bengkel ini, iaitu Encik Fauwaz Hasbullah, Jurulatih Utama DERMAGA merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat WADAH; Puan Maria Kamel, Jurulatih DERMAGA merangkap exco ABIM Pusat; dan Cik Wan Norfadillah, Jurlatih DERMAGA.
Bagi sesi pelatihan Kejurulatihan DERMAGA di Sarawak kali ini, bengkel ini memfokuakan untuk melatih kelompok jurulatih baharu yang akan mengendalikan modul DERMAGA di Sarawak dengan hasrat bersama ke arah pemupukan ahli komuniti masyarakat yang lebih selamat dan terjaga di kalangan kanak-kanak & remaja.
Selain itu, bengkel ini juga berfungsi untuk mewujudkan kelompok sokongan (support group) antara guru, ibu, bapa dan relawan sebagai platform dalam menangani kes dan masalah berkaitan gangguan seksual dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Terdapat lima modul DERMAGA yang dibahaskan sepanjang bengkel ini berlangsung:
1) Modul 1: Seksualiti Remaja: Isu dan Cabaran Keluarga di Malaysia
2) Modul 2: Seksualiti, Nilai dan Tanggungjawab
3) Modul 3: Siapa Saya? Kenali Diri
4) Modul 4: Remaja dan Seksualiti
5) Modul 5: Jangan Hampiri Zina
Acara ini turut mendapat liputan akhbar Utusan Borneo Edisi Isnin, 17 Disember 2018
(Halaman 08) dengan tajuk "Bengkel Latihan Kejurulatihan DERMAGA Mendapat Sambutan". Laporan aKhbar ini juga boleh dibaca di pautan ini: 

https://www.utusanborneo.com.my/2018/12/17/bengkel-latihan-kejurulatihan-dermaga-mendapat-sambutan?fbclid=IwAR0Lk2JqqkWoZuShYYMJ4rga3yzCnesJMfc5FBc9JxbdoHAnS0bq4WKAQs8

















TAG