Prospek Pendidikan Islam Masa Depan: ABIM Sarawak Berperanserta dalam Persidangan iFIRST


Sepang, 10 Disember 2018- Persidangan Islamic Education, Foresight and 4th Industrial Revolution (iFIRST2018) anjuran bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kedutaan Amerika Syarikat, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan IKRAM-Musleh telah berlangsung selama empat hari bermula dari 10 hingga 13 Disember 2018.
Persidangan yang bertemakan “Towards a Holistic Islamic Education in Facing the Future” telah berlangaung di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA, dekat sini.
Perasmian Persidangan ini telah disempurnakan oleh YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia.
ABIM Sarawak diwakili Penolong Setiausaha, Sdr. Awang Shazuan Syafiq Awang Jaya telah berperanserta dalam persidangan yang disertai lebih 50 orang perwakilan dalam kalangan para pendidik dan pentadbir sekolah agama dan mereka yang terlibat dalam pendidikan Islam dari sektor kerajaan dan swasta dari seluruh Malaysia.
Dengan penganjuran persidangan ini, ia membuka ruang kepada para peserta untuk menilai pencapaian pendidikan Islam sedia ada di Malaysia dan persediaannya dalam menghadapi cabaran baharu. Ini dilakukan menggunakan metodologi pemikiran masa hadapan (Futures Thinking) yang memerlukan para peserta mengandai kemungkinan dan melakar masa hadapan yang diinginkan (the preferred future) bagi pendidikan Islam di Malaysia.
Kolaborasi penganjuran antara USIM, Kedutaan Amerika Syarikat, ABIM dan IKRAM-Musleh ini diadakan atas kesedaran berhubung peranan sosial yang perlu dilaksanakan dalam meningkatkan peranan pendidik dan pendidikan Islam yang holistik untuk mendepani masa hadapan.
Pengisian sepanjang persidangan ini meliputi aspek pembangunan sahsiah pelajar dalam membentuk peribadi holistik dan seimbang, peranan pendidik Muslim, naratif pendidikan Islam semasa dan cabaran-cabaran masa hadapan pendidikan Islam. Ia disampaikan melalui perbincangan panel-panel jemputan, syarahan oleh penceramah antarabangsa dan tempatan, sesi perkongsian pengalaman, bengkel dan sesi perbincangan terbuka.
Antara ilmuwan Islam yang dijemput memberi input dalam persidangan ini ialah Dr. Zainab Alwani dari Howard University School of Divinity, Amerika Syarikat, aktivis Islam Afeefa Syeed pengasas Al-Fatih Academy Amerika Syarikat, aktivis pendidikan Hasrizal Abdul Jamil dari Universiti Oulu Finland, tokoh pemikir Islam Prof. Dato’ Dr. Siddiq Hj Fadzil dan tokoh pendidikan tinggi, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.







TAG