Sumbangan "Kembali ke Sekolah": Pertubuhan Islam Santuni Golongan Asnaf


Sri Aman, 26 Disember 2018: ABIM Sarawak dan Malaysia Relief Agency cawangan Sarawak telah menganjurkan program penyampaian sumbangan "Kembali ke Sekolah" sempena musim persekolahan 2019 yang bakal tiba.

Bertempat di Kampung Saudara Baru, Merindun, Lubok Antu dekat sini, pihak penganjur mensasarkan beberapa objektif dalam pelaksanaannya. Antaranya adalah:

1) Menyampaikan sumbangan orang ramai untuk membantu golongan yang memerlukan khususnya kelompok asnaf mualaf di pedalaman

2) Membantu meringankan bebanan ibu bapa dalam mempersiap kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan 2019.

3) Mengenalpasti jenis bantuan lain yang boleh disumbangkan kepada golongan ini khususnya dalam membantu meningkatkan sosioekonomi dan taraf hidup mereka

Seramai 33 orang pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kalangan keluarga asnaf mualaf menerima peralatan kelengkapan persekolahan berupa beg dan alat tulis. Manakala, sebanyak 16 pintu keluarga asnaf mualaf menerima bahan-bahan dapur berupa beras, gula, garam, minyak, tepung, dan lain-lain.

Kehadiran para aktivis ABIM Sarawak dan MRA Sarawak disambut oleh wakil Ketua Kaum, Encik Supian Sufian. Para aktivis diundang untuk sama-sama menikmati makan tengahari bersama-sama penduduk kampung sebelum acara dimulakan.

Usai makan tengahari, wakil penduduk menyampaikan Ucapan Sambutan, diikuti oleh ucapan ringkas wakil MRA dan ABIM Sarawak. Penyampaian sumbangan bahan-bahan dapur kepada setiap keluarga disampaikan kepada masing-masing ketua keluarga dan sumbangan barang kelengkapan sekolah disampaikan kepada 33 orang pelajar sskolah anak-anak asnaf mualaf.

Selepas penyampaian sumbangan, para aktivis dibawa meninjau gerai-gerai jualan di tepi jalan milik penduduk kampung yang memerlukan pembiayaan untuk dibaiki dan dibina semula.

Para penduduk Kampung Saudara Baru Merindun terdiri daripada masyarakat berbangsa Iban yang tinggal di kawasan perbatasan Antarabangsa Lubok-Antu (Malaysia) dengan Badau (Kalimantan Barat, Indonesia).

Masing-masing yang tinggal di Kampung Saudara Baru menduduki rumah tempat berteduh yang sederhana. Rata-rata penduduknya bekerja sebagai buruh, sama ada dalam sektor pertanian (sawit), perkilangan, buruh binaan, menjaga gerai, berniaga kecil-kecilan, mencari bahan hutan, dan lain-lain. Selain infrastruktur, antara keperluan lain yang mendesak adalah bimbingan kerohanian, mengaji al Quran dan asas fardhu ain.

Oleh yang demikian, para aktivis ABIM Sarawak telah mencadangkan beberapa tindakan untuk langkah masa depan:

1) Membantu menubuhkan koperasi khusus penduduk sebagai platform menggerakkan ekonomi secara bersama.

2) Membantu membina gerai-gerai di tepi jalan raya di kawasan perkampungan mereka agar dimanfaat bagi tujuan perniagaan

3) Mencari sumbangan bagi pembinaan balai raya untuk kegunaan pelbagai termasuk pengajian, mesyuarat dan lain-lain.

4) Bantuan seperti ini akan diperluaskan di kawasan pedalaman lain seluruh Sarawak (dengan bantuan kewangan dan sumbangan masyarakat)

Projek Kembali ke Sekolah ini diselaras oleh
Wan Azizan Wan Zainal Abidin (Aktivis ABIM Sarawak dan Penyelaras MRA Sarawak). Turut hadir dalam membantu menggerakkan projek ini adalah Encik Mohammad Fazril bin Mohd Saleh Ahli Jawatankuasa Pusat ABIM, Encik Mohamad Raufa Irman Abd Raub Timbalan Yang Dipertua ABIM Sarawak dan Puan Masyitah Abdullah, Daie YADIM bahagian Sri Aman, Encik Supian Zakaria wakil Ketua Kaumdan Encik Amin bin Abdullah, wakil penduduk.

Kegiatan ini juga mendapat liputan akhbar Utusan Borneo Edisi 05 Januari 2019 (halaman Berita Iban) dengan tajuk "ABIM Sarawak Meri Bantu Sekula Ngagai Raban Asnaf di Merindun" dan Utusan Borneo Edisi 06 Januari 2019 (halaman 6) dengan tajuk "ABIM Santuni Keluarga Asnaf di Kampung Saudara Baru, Merindun".

Bagi masyarakat awam, sekiranya berhasrat membantu menghakupaya golongan memerlukan, sila salurkan sumbangan keeangan ke Akaun Bank Islam: ABIM Negeri Sarawak 1101-3010-0755-32 atau hubungi Sekretariat ABIM Negeri Sarawak di talian +601161783206 / laman web: www.abimsarawak.org.












TAG