ABIM Sarawak Kunjungi Datuk Wan Lizozman, Bincang Perihal Gerakan Belia Sarawak


Kuching, 25 Januari 2019: ABIM Negeri Sarawak telah mengadakan kunjungan silaturrahim terhadap Datuk Haji Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, bertempat di pejabat belia, di Wisma Sumber Alam, di sini.

Pertemuan selama lebih kurang satu jam setengah itu membincangkan antara lain agenda membangun gerakan belia di negeri ini.

Delegasi ABIM Sarawak seramai lima orang pimpinan negeri yang berkunjung ke Pejabat Datuk Haji Wan Lizozman diketuai oleh Ustaz Mohamad Raufa Irman Abd Raub (Timbalan Yang Dipertua ABIM Sarawak) dan Mohammad Fazril Mohd Saleh (Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat ABIM dan Setiausaha Negeri ABIM Sarawak).

Datuk Haji Wan Lizozman yang dahulunya juga merupakan aktivis belia sekitar penghujung 1990-an dan awal 2000-an, pernah menjawat posisi Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) di peringkat kebangsaan.

Beliau turut berkongsi pengalaman dan pesan-pesa sebagai pedoman bagi para pemimpin belia Negeri Sarawak amnya dan pimpinan ABIM khasnya dalam mengorak langkah gerakan belia Sarawak yang lebih proaktif, berwibawa dan mandiri.

Delegasi ABIM Sarawak turut memaklumkan program-program, kegiatan dan agenda ABIM Sarawak khususnya bagi sesi kepemimpinan kali ini yang bermula sejak Ogos 2018 yang lalu.

Sejak lima bulan yang lalu sehingga kini, lebih 150 program telah dilaksanakan oleh ABIM Sarawak merangkumi pelbagai kegiatan termasuklah di peringkat antarabangsa. 10 kenyataan media telah dikeluarkan bagi menyatakan pendirian sikap ABIM Sarawak dalam isu-isu tertentu melibatkan kepentingan belia dan masyarakat khasnya di Negeri Sarawak, dan kesemuanya mendapat perhatian dan liputan media massa arus perdana. Malah, kegiatan ABIM Sarawak turut mendapat liputan akhbar tempatan di Sarawak.

Datuk Haji Wan Lizozman juga turut dimaklumkan berkenaan penganjuran Kolokium Kepemimpinan Belia anjuran bersama ABIM Sarawak dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada 14 Februari 2019, bertempat di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan Sarawak, Kuching.

Antara pesanan penting belia kepada para penggiat belia di negeri ini adalah belia Sarawak harus mampu berdikari dan bijak mencari peluang dalam memajukan pertubuhan dan gerakan belia. Jaringan kerjasama pintar dengan pelbagai pihak wajar diteruskan di samping berusaha membangun mentaliti belia yang matang, berkarisma dan berkepimpinan.

Datuk Haji Wan Lizozman juga merupakan seoramg penulis yang telah menghasilkan beberapa karya ilmiah khasnya dalam bidang kepemimpinan, belia dan pengurusan Islam.

Pada akhir pertemuan, ABIM Sarawak menghadiahkan dua buah buku terbitan ABIM berjudul "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" dan "Nasihat al-Muluk dan Kepemimpinan Belia Islam", yang kedua-duanya merupakan hasil tangan Mohammad Fazril Mohd Saleh yang juga merupakan aktivis dan pimpinan ABIM Sarawak.







TAG