Putussibau, 14 Januari 2019: ABIM Negeri Sarawak telah diundang mewakili Malaysia dalam program Silaturrahmi Da'i Serantau, bertempat di Kota Putussibau, Kabupaten Kapuas Hulu, Republik Indonesia
Seramai 150 orang perwakilan daripada Indonesia, Malaysia, dan Negara Brunei Darussalam telah menyertai acara yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut, yang diisi dengan oelbagai kegiatan termasuklah dialog, syarahan, dan ceramah umum.
Delegasi Malaysia diwakili ABIM Sarawak, manakala delegasi Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam dan Indonesia diwakili oleh Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia cabang Kabupaten Kapuas Hulu dan 23 lagi cabang-cabang peringkat Kacamatan.
Program anjuran Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia (DDII) Kabupaten Kapuas Hulu dengan dokongan pemerintah Kabupaten Kapuas Hulu ini bertujuan untuk menghimpunkan para pendakwah daripada tiga negara bersempadan bagi berkongsi pandangan tentang kegiatan dakwah di negara masing-masing di samping merencana pelan tindakan dakwah dan khidmat komuniti khususnya di kawasan pedalaman dan perbatasan antara negara.
Selain itu, penganjurannya juga mensasarkan suatu kewujudkan rangkaian gerakan dakwah serantau dan juga mempromosikan Islam sebagai agama rahmat.
Delegasi Malaysia diwakili oleh Mohammad Fazril Mohd Saleh (Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat ABIM), Muhammad Hazim Azhari (Yang Dipertua ABIM Sarawak), Mohamad Raufa Irman Abd Raub (Timbalan Yang Dipertua ABIM Sarawak) dan Muhammad Zhariff Azhari (Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak).
Pada hari pertama kegiatan (12 Jan 2019), delegasi Malaysia (ABIM Sarawak) berangkat dari Kuching sekitar jam 04:30 pagi menuju Lubok Antu, Sri Aman dan tiba di sempadan Malaysia-Indonesia (Lubok Antu-Badau) pada jam 08:30 pagi dengan disambut oleh Sekretaris Pemerintah Kabupaten Kapuas Hulu, Bapak Haji Yusuf dan Kepala Departmen Nasional Perhubungan Kabupaten Kapuas Hulu, Bapak Haji Abdul Halim.
Delegasi Malaysia masuk ke sempadan Indonesia dengan diiringi Kereta Peronda Khas menuju Kota Putussibau. Delegasi dibawa bersinggah maka tengahari di Kacamatan Lanjak dengan menikmati hidangan khas lauk pauk Kapuas dan durian Kapuas Hulu.
Delegasi tiba di Kota Putussibau dan bersiap-siap untuk Acara Sambutan di Pendopo (dewan besar) Rumah Bupati Kapuas Hulu. Majlis dihadiri oleh Bupati Kapuas Hulu Bapak Abang Muhammad Nasir dan pegawai-pegawai tinggi Kabupaten.
Dalam acara tersebut, mewakili Malaysia, Muhammad Hazim Azhari, Yang Dipertua ABIM Sarawak menyampaikan ucapan. Turut diadakan, majlis pelantikan saf qiadah Dewan Da'wah Islamiah Indonesia cabang Kabupaten Kapuas Hulu.
Hari kedua program (13 Januari 2019), dilangsungkan Dialog Da'i Serantau, bertempat di aula (Dewan) Majlis Adat dan Budaya Melayu, Kabupaten Kapuas Hulu. Delegasi Malaysia diwakili Mohammad Fazril Saleh, Indonesia diwakili Dr. Eka Henry dan Dr. Hermansyah dan Negara Brunei Darussalam diwakili Haji Ali Hassan Mohd Said.
Dengan kehadiran lebih 200 orang peserta, dialog ini membincangkan kondisi dan pengalaman dakwah di negara masing-masing, merangkumi permasalahan, cabaran dan prospek masa depan. Dialog mendapat sambutan menggalakkan daripada hadirin dan berakir sekitar jam 4.00 petang waktu Indoensia Barat.
Pada malamnya, dianjurkan Program Tabligh Akbar (Ceramah Perdana) di Masjid Agung Darun Najah, Kota Putussibau. Kehadiran lebih 1000 orang khalayak dalam kalangan Muslimin dan Muslimat daripada pelbagai peringkat umur.
Penceramah bagi sesi Tabligh Akbar ini ialah Ustaz Mohammad Fazril bin Mohd Saleh (Malaysia) dan Ustaz Awang Haji Salleh Dicky Abdullah (Negara Brunei Darussalam). Turut hadir dalam acara ini ialah Bupati Kabupaten Kapuas Hulu Bapak Haji Abang Muhammad Nasir, Ketua Umum Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia Propinsi Kalimantan Barat, Bapak Makful Safwan, Ketua Panitia Program, Bapak Iwan Setiawan, Ketua Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia Kapuas Hulu, Bapak Ir M. Sukri dan Kepala Kementerian Agama (KEMENAG) Kabupaten Kapuas Hulu, Bapak Syahrul.
Acara ini juga mendapat liputan akhbar Utusan Borneo Edisi Sabtu, 19 Januari 2019
(Segmen Horizon Halaman A2) dengan tajuk "Program Silaturrahmi Da'i Serantau Himpunkan Pendakwah Tiga Negara".
Tiada ulasan
Catat Ulasan