Membangun Generasi Bitara: ABIM Sarawak Kunjungi Sekolah Cemerlang Contoh SMK Agama Miri
Miri, 16 Januari 2019: ABIM Negeri Sarawak telah mengadakan kunjungan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri, di sini.
Delegasi ABIM Sarawak yang terdiri daripada Mohammad Fazril Mohd Saleh (Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat ABIM), Wan Azizan Wan Zainal Abidin (Pengerusi Koperasi Sri Madani Sarawak Berhad - koMADANI), Mohamad Raufa Irman Abd Raub (Timbalan Yang Dipertua ABIM Sarawak) dan Luqmanul Hakim bin Suffian (aktivis mahasiswa) telah disambut oleh Pengetua SMK Agama Miri, Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob.
Tujuan kunjungan delegasi ABIM Sarawak adalah bagi menyampaikan sumbangan untuk kelengkapan persekolahan kepada para pelajar dalam kalangan asnaf di SMKA Agama Miri (sumbangan amanah orang ramai untuk diagihkan kepada golongan sasar tertentu), di samping memperkenalkan usaha ABIM Sarawak memperkenalkan tokoh ulama besar kelahiran Sarawak yang menjadi guru di Masjidil Haram pada akhir abad ke-19 bernama Shaykh Haji Uthman Abdul Wahab.
Rombongan juga menghadiahkan buku berjudul "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" terbitan ABIM.
Delegasi ABIM Sarawak turut menyampaikan sumbangan amanah khalayak ramai kepada pelajar asnaf di sekolah ini.
Mengakhiri kunjungan, Tuan Pengetua Ustaz Fauzi Yaakob telah membawa delegasi ABIM Sarawak melawat kawasan sekolah: Longkang sekolah yang ditempatkan ikan karp, tandas sekolah yang bersih bertaraf tandas hotel, projek madu kelulut al Shifa, projek kreatif pelajar dan bilik kelas tanpa tong sampah.
Sejak Ogos tahun lalu, tular di media sosial tentang kebersihan dan kejayaan disiplin SMK Agama Miri. Tular foto-foto tentang kebersihan dan kecantikan tandas sekolah serta kebersihan persekitaran sekolah sehingga memungkinkan ikan karp dipelihara di dalam longkang sekolah.
Tuan Pengetua dan guru-guru menerapkan disiplin dan kebertanggungjawaban berteraskan maqasid syariah dalam kalangan warga sekolah merangkumi pelajar, guru dan staf sokongan. SMK Agama Miri juga menerapkan prinsip dan rukun sendiri dalam kalangan pelajar sekolah.
Tuan Pengetua Ustaz Fauzi Yaakob merupakan seorang pendidik dan tokoh pemimpin pendidikan yang disegani dalam kalangan para guru dan pemimpin pendidikan di Sarawak.
Beliau yang berasal dari Kedah telah berkhidmat lebih 25 tahun di bumi Sarawak. Lebih menarik lagi, beliau merupakan anak didik merangkap anak usrah kepada Almarhum Tuan Guru Shaykh Niamat Yusuf, pengasas ABIM Negeri Kedah, ketika beliau menuntut ilmu peringkat sekolah menengah di Maktab Mahmud, Kedah. Almarhum bapa beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Su Kob merupakan seorang ulama dan pendiri pondok pengajian di Kedah.
SMK Agama Miri merupakan sebuah sekolah cemerlang contoh yang mempunyai model kependidikan tersendiri bagi membangun generasi bitara yang dapat dicontohi.
Tiada ulasan
Catat Ulasan