Kuching, 26 Januari 2019: Sempena Pelancaran Program Kongsi Rezeki anjuran Briged Bakti Malaysia dan Pasaraya Besar MYDIN, ABIM Negeri Sarawak menganjurkan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak pra-sekolah, sebagai salah satu acara sisipan bagi program tersebut.
Seramai 40 orang kanak-kanak pra-sekolah telah mengikuti pertandingan ini. Acara yang diadakan di Pasaraya Besar MYDIN Vista Astana Petra Jaya, dekat sini berlangsung di pentas sebelah medan selera Pasaraya tersebut.
Acara bermula dengan sesi pendaftaran seawal jam 08:45 pagi, disusuli dengan sesi 'energizer' yang dibimbing para sukarelawan mahasiswa daripada Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS). Masa selama satu jam diberikan kepada para peserta untuk menyelesaikan karya masing-masing.
Ibu bapa dan keluarga yang mengiringi para peserta berasa amat gembira dengan acara yang diadakan ini dan berharap agar acara sepertinya dapat dilangsungkan lagi dari semasa ke semasa.
Pihak pengurusan MYDIN juga telah bersetuju untuk melanjutkan hubungan kerjasama dengan ABIM Sarawak bagi penganjuran pertandingan mewarna dalam skala yang lebih besar lagi.
Kesemua 40 peserta menerima cenderahati berupa beg galas sekolah dengan tiga orang daripadanya terpilih sebagai peserta terbaik dan membawa pulang hamper.
Penyampaian hadiah disampaikan oleh YBhg Dato Dr. Razak Hj Kecik, Presiden Briged Bakti Malaysia merangkap Tokoh Dakwah Negara.
Briged Bakti Malaysia (BBM) merupakan sebuah pertubuhan yang diwujudkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sejak tahun 1991 lagi. Ia muncul kali pertama di Negeri Kelantan dan telah bergerak sebagai pertubuhan unit beruniform yang sah di sekolah-sekolah seluruh Kelantan.
Sehingga kini, BBM telah bertapak di kesemua 13 negeri dan satu wilayah persekutuan seluruh Malaysia. BBM Negeri Sarawak juga bakal mengorak langkah dengan aktif bermula tahun ini dan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.
Tiada ulasan
Catat Ulasan