Sekolah Paling Bersih dan Ceria di Sarawak: Kunjungan ABIM Sarawak ke SMK Baru Miri


Miri, 16 Januari 2019: ABIM Sarawak telah berkunjung ke Sekolah Menengah Kebangsaan Baru Miri untuk melawat sekolah terbaik kebersihan dan keceriaan di Sarawak, di samping menyampaikan sumbangan berbentuk kelengkapan persekolahan dan barangan dapur kepada 10 orang pelajar dalam kalangan keluarga asnaf.

Delegasi ABIM Sarawak terdiri daripada Mohamad Raufa Irman Abdul Raub (Timbalan Yang Dipertua), Wan Azizan Wan Zainal Abidin (Pengerusi Lembaga Koperasi Sri Madani Sarawak Berhad - KoMADANI), Mohammad Fazril bin Mohd Saleh (Setiausaha Negeri) dan Luqmanul Hakim Suffian (exco Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak).

Delegasi disambut oleh Guru Penolong Kanan, Encik Henry dan beberapa orang guru yang lain terutama daripada unit Pendidikan Islam dan Moral.

Dalam acara penyampaian sumbangan, ucapan disampaikan oleh Mohammad Fazril Mohd Saleh mewakili ABIM Sarawak. Dalam ucapannya, beliau mendorong para pelajar agar belajar dengan tekun dan gigih, dan berharap agar sumbangan yang merupakan hasil sumbangan orang ramai ini akan menjadi sebahagian punca keberkatan dalam kehidupan semua, atas sebab keikhlasan pihak yang menyumbang dan keikhlasan pihak yang menerima.

Delegasi ABIM Sarawak juga sempat menyerahkan dua buah buku terbitan ABIM berjudul "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" dan "Nasihat al-Muluk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam" kepada pihak sekilah menerusi Puan Pengetuanya, Puan Jerrah Pandin.

SMK Baru, Miri sebelum ini mencatat kejayaan membanggakan apabila dipilih sebagai naib johan Anugerah 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) peringkat kebangsaan 2018. Sebelumnya, sekolah ini turut dinobatkan sebagai juara anugerah yang sama peringkat negeri Sarawak.



 

TAG