Kuching, 26 Januari 2019: Tim DERMAGA ABIM Negeri Sarawak telah mengadakan mesyuarat penyelarasan dan perbincangan pengukuhan dalam rangka memperkukuh kefahaman dan merencana strategi pergerakan bagi pelaksanaan agenda DERMAGA di Sarawak.
Mesyuarat penyelarasan ini diadakan di Sekretariat ABIM Sarawak, Taman Sri Wangi, dekat sini.
Mesyuarat dipengerusikan Naib Yang Dipertua ABIM Sarawak merangkap Ketua HELWA, Puan Sharifah Afifah Wan Morsidi.
Pelbagai kesepakatan dicapai, antara lain persiapan imej pasukan DERMAGA, pemantapan ilmu dan kemaskini fakta, pengaturan tarikh bagi program-program terdekat dan variasi kaedah penyebaran kesedaran.
Sebelumnya, bengkel Kejurulatihan DERMAGA siri-1 di Sarawak telah berlangsung pada 01 dan 02 Disember tahun lalu.
"Diriku Permata Berharga" (DERMAGA) lahir dari keprihatinan tinggi terhadap kesedaran dan pendidikan reproduktif dalam kalangan remaja. DERMAGA diilhamkan bagi membantu mengukuh kefahaman dan menyampai maklumat berkaitan kesihatan reproduktif remaja.
Selain itu, DERMAGA membantu memahamkan bahawa remaja juga punya tanggungjawab menjaga diri sendiri. Ia juga membantu bagi membekalkan remaja dengan kaedah mengelakkan diri setelah mengenal pasti tingkah laku berisiko atas sebab diri atau orang lain yang boleh mendekatkan diri pada risiko keselamatan diri.
Oleh yang demikian, ABIM berhasrat mempersiap kumpulan sokongan untuk membantu dalam proses pemberdayaan peranan dan pengetahuan sesama anggota masyarakat.
Tim DERMAGA ABIM Sarawak sedia menerima pelawaan mana-mana pihak termasuk pihak sekolah, komuniti, pertubuhan dan sebagainya bagi berkongsi ilmu dan menjalankan modul DERMAGA (usia pelajar sekolah Menengah) dan modul TUNAS DERMAGA (usia pelajar sekolah rendah) di tempat anda.
Tiada ulasan
Catat Ulasan