Sambas, 05 Disember 2018: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah mengadakan pertemuan dan wacana bersama para pensyarah Institut Agama Islam Sultan Syafiuddin (IAIS) Sambas selepas menghadiri Seminar Percepatan Pembangunan Wilayah Perbatasan Menuju Sambas Hebat 2018.
Pertemuan selama lebih tiga jam itu membincangkan pelbagai perkara merangkumi sejarah Islam, peradaban Melayu, dan hal ehwal politik semasa terkait kedua-dua wilayah.
Timbalan Yang Dipertua Ustaz Mohamad Raufa Irman dan Setiausaha Negeri Sdr. Mohammad Fazril Saleh telah disambut oleh para pensyarah IAIS antaranya Dr. Adnan, Dr. H. Mujahidin dan Dr. Sunandar.
Perbincangan mencapai beberapa kesepakatan antaranya kerjasama dalam aspek penganjuran seminar tokoh ulama dan ilmuwan Islam kedua-dua wilayah Sambas dan Sarawak, memandangkan dari Sarawak terdapatnya tokoh Shaykh Haji Uthman Abdul Wahab al-Sarawaqi yang merupakan guru kepada tokoh ilmuwan Sambas Maharaja Imam Shaykh Haji Muhammad Basiuni Imran.
Selain itu, pihak pensyarah IAIS juga berhasrat untuk mengadakan kerjasama dalam bidang penerbitan bahan-bahan ilmiah, dengan pengurusan di bawah ABIM Press.
Pada penghujung acara, ABIM Negeri Sarawak sempat menghadiahkan momento kenang-kenangan berupa frame khas kunjungan dan buku terbitan ABIM berjudul "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" kepada wakil pensyarah IAIS.
Tiada ulasan
Catat Ulasan