ABIM Sarawak di Media: Kerajaan Perlu 'Matangkan' Belia 18 Tahun Sebelum Jadi Pengundi



"Kerajaan Perlu 'Matangkan' Belia 18 Tahun Sebelum Jadi Pengundi"

Utusan Borneo
Edisi Jumaat, 15 Februari 2019
(Halaman 5)

=============

KUCHING: Kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk ‘mematangkan’ golongan belia berusia 18 tahun sebelum menjadi pengundi.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak Muhammad Hazim Azhari berkata, ini termasuk menjalinkan kerjasama atau menganjurkan program yang boleh memberi pendedahan politik demokrasi kepada belia.

“Secara peribadi, saya berpendapat ia mengambil masa dan waktu untuk menyemai atau mematangkan anak-anak muda berumur 18 tahun menjadi pengundi.

“Sedangkan kalau kita fikir balik, untuk mendaftarkan mereka pada umur 21 tahun sebagai pengundi pun dah jadi satu cabaran besar.

“Jadi bagaimana hasrat untuk menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun akan boleh mendorong belia menggunakan kuasa itu (mengundi) dengan sebaik-baiknya?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Kolokium Kepemimpinan Belia anjuran ABIM Negeri Sarawak dan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan supaya mengkaji sedalam-dalamnya usul menurunkan had umur kelayakan mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
TAG