ABIM Sarawak di Media: Program MANIS 2019 di DBP Cawangan Sarawak Malam Esok



"Program MANIS 2019 di DBP Cawangan Sarawak Malam Esok"

Utusan Borneo
Edisi Khamis, 14 Februari 2019
(Halaman 2)

=====================

KUCHING: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak baru-baru ini mencapai kesepakatan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak untuk menganjurkan program Malam Nurani Insaniah Sarawak (MANIS) 2019.

Program yang memasuki edisi kedua itu akan berlangsung pada 15 Februari ini (esok) di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak di sini, mulai jam 8 malam.

Menurut kenyataan medianya, program MANIS yang berkonsepkan kempen kesedaran isu kemanusiaan sejagat melalui cara santai akan dilaksanakan dengan pengisian utama Slot Bicara Nurani melibatkan tiga aktivis lapangan misi kemanusiaan.

Mereka ialah Penyelaras Malaysian Relief Agency (MRA) Sarawak Wan Azizan Wan Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia (GPM) Ahmad Fahmi Samsuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Life Line for Syria Shahrir Azfar Saleh.

Slot Bicara Nurani itu juga akan diselang seli dengan persembahan nasyid dan nyanyian lagu kemanusiaan serta persembahan kreatif deklamasi puisi oleh karyawan tempatan seperti Awang Kelana, Lasykar Seni dan Faizal Jamil.

Fokus Bicara Nurani kali ini adalah berkisar penerangan isu penindasan etnik Uyghur di Xinjiang China, penjajahan ke atas warga Palestin yang belum selesai, konflik di Syria dan fenomena pelarian di negara sendiri etnik Rohingya di Myanmar.

Dijangkakan lebih 500 hadirin akan menyertai program itu yang dilihat sesuai dengan kapasiti dewan lokasi penganjurannya.

Dalam perkembangan sama, ABIM Negeri Sarawak diwakili Mohammad Fazril Saleh dan Mohamad Raufa Irman telah menjalani rakaman bagi slot Sembang Sastera di Sarawak.fm diteraju Faizal Jamil.

Slot itu ke udara di Sarawak.fm pada 10 Februari lalu jam 8 malam.

Untuk maklumat lanjut mengenai program itu, orang ramai diminta menghubungi Mohamad Raufa di talian 011-61783206 atau layari www.abimsarawak.org
TAG