KENYATAAN MEDIA
ABIM NEGERI SARAWAK
28 JANUARI 2019
"DIGUGUR HAK TUAN RUMAH AKIBAT SEKAT ATLET RENANG PARA ISRAEL: ABIM SARAWAK SYOR YAB KETUA MENTERI NYATAKAN SOKONGAN TERHADAP KERAJAAN MALAYSIA"
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak merujuk laporan berita Reuters bertarikh 27 Januari 2019 bertajuk “M'sia stripped of 2019 World Para Swimming Championships over Israeli ban”. Menurut laporan tersebut, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) telah menarik hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan berlangsung di Kuching dari 29 Julai hingga 04 Ogos 2019, akibat pendirian tegas Malaysia untuk menyekat kemasukan atlet dari Israel ke negara ini.
ABIM Negeri Sarawak memandang ketegasan Kerajaan Malaysia dalam menyekat kemasukan atlet para Israel ke negara ini sebagai suatu tindakan berani dan berprinsip. Sememangnya Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, malah menjadi pendokong kuat kepada perjuangan pembebasan Palestin daripada penindasan oleh negara penjajah Israel.
Tindakan sedemikian adalah sejajar dengan dasar yang dipegang oleh kerajaan Malaysia yang selama ini tidak memberi kebenaran kepada pemegang pasport Israel daripada memasuki negara ini. Kerajaan Malaysia telah mengekalkan dasar ini dengan tegas dan teguh tanpa sebarang pengecualian.
Akibatnya, pihak Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) semalam (27 Januari 2019) telah membuat keputusan untuk menggugurkan hak Malaysia sebagai tuan rumah bagi kejohanan yang sudah terjadual itu dan akan mencari lokasi baharu bagi acara tersebut.
Diskriminasi, penindasan dan kezaliman Israel terhadap warga Palestin bukanlah baharu diketahui warga dunia. Ia disahkan sendiri oleh badan hak asasi manusia yang berotoritatif seperti Amnesty International dan Human Rights Watch.
Oleh yang demikian, alasan seperti “isu sukan jangan dipolitikkan” atau “memohon Sarawak menggunakan kuasa imigresen bagi membenarkan atlet Israel masuk” seperti dicadangkan sebelum ini oleh Sayap Wanita Parti Sarawak United People's Party (SUPP) dan The Movement for Change Sarawak (MoCS) wajar difikir-fikirkan semula.
Sehubungan dengan itu, ABIM Negeri Sarawak juga mengesyorkan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari untuk menyatakan sokongan terhadap pendirian Kerajaan Malaysia atas nama kebenaran, keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Dalam perkembangan yang sama, ABIM Sarawak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak akan menganjurkan program Malam Nurani Insaniah dengan tema “menginsafi dan menghayati naluri penderitaan sesana insan”, pada 15 Februari 2019 jam 08:30 malam bertempat di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak, Kuching.
Program ini bertujuan secara khusus menyampaikan informasi tentang pengalaman pasukan misi bantuan kemanusiaan di negara-negara terjejas akibat penindasan dan peperangan termasuk Palestin, Syria, Myanmar (Rohingya) dan China (Uyghur), yang diselang selikan dengan persembahan kreatif daripada karyawan tempatan. Pihak kami mengundang warga Sarawak untuk hadir sama sebagai sokongan terhadap prinsip keamanan sedunia.
Sekali lagi, kami memohon YAB Ketua Menteri dan pucuk pimpinan Sarawak untuk bersama-sama menyatakan pendirian menyokong tindakan Kerajaan Malaysia dalam hal ini. Kami yakin, warga Sarawak juga bersama mendokong perjuangan Palestin, demi kebenaran dan keadilan sejagat.
"SEJAHTERAKAN SARAWAK"
Muhammad Hazim bin Azhari
Yang Dipertua
ABIM Negeri Sarawak
28 Januari 2019
No. Fon: 011-61783206
Emel: abimsasar@gmail.com
Laman Web: abimsarawak.org
Tiada ulasan
Catat Ulasan