Kota Samarahan, 09 Februari 2019: Perkampungan Menara Gading (PMG) peringkat Negeri Sarawak telah dilangsungkan dengan janyanya bermula 08 Februari sehuingga 10 Februari 2019, bertempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sarawak, di sini.
Seramai lebih 200 orang peserta menyertai program tahunan yang menghimpunkan pelajar lepasan sekolah khususnya yang baharu melepasi ujian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
PMG dianjurkan sebagai suatu platform persediaan kepada para pelajar lepasan sekolah untuk menjejak kaki ke alam Menara Gading (Universiti). Justeru pelbagai program dan aktiviti dijalankan seperti aktiviti dinamika berpasukan, sesi pengenalan bidang pengajian dan universiti, forum mahasiswa bitara, sesi debat mahasiwa, syarahan tokoh dan sebagainya.
Dalam tempoh penganjurannya PMG kali ini lebih bermakna apabila dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak. Beliau hadir sebagai pembicara utama dalam sesi "town hall" yang diteraju oleh Sdr. Mohammad Fazril Saleh, mahasiswa pascasarjana Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) merangkap Setiausaha ABIM Sarawak.
Dalam sesi 'town hall' ini, YB Datuk telah berkongsi pengalaman beliau yang datang daripada kawasan luar bandar pergi menuntut ilmu di kota dan melalui perjalanan kehidupan dengan liku pelbagai. Nasihat-nasihat berguna dititipkan kepada para peserta sebagai pedoman dan motivasi bagi menempuh kehidupan dengan langkahan selanjutnya.
Para peserta juga tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan kepada YB Datuk. Beliau memuji penganjuran program seperti ini dan merakamkan ucapan tahniah kepada penganjur kepada membantu anak-anak Sarawak dalam mempersiap diri untuk melangkah ke alam kampus.
Perkampungan Menara Gading merupakan program tahunan yang dijalankan di seluruh negara. Bagi tahun 2019, PMG Sarawak telah mencatat sejarah sebagai penganjuran teramai dengan jumlah penyertaan seramai 200 orang. Peserta bagi PMG kali ini juga merangkumi pelajar berbilang bangsa dan agama dan melibatkan anak-anak Sarawak daripada seluruh bahagian di negeri ini.
Perkampungan Menara Gading (PMG) peringkat Negeri Sarawak juga merupakan susulan kepada PMG Peringkat Bahagian yang telah berlangsung sebelumnya: PMG Kuching, PMG Sebuyau, PMG Gedong, PMG Sibu, PMG Bintulu, PMG Igan dan PMG Miri. Hanya negeri Sarawak sahaja berhasil menganjurkan PMG di peringkat bahagian/ daerah.
Perasmian pembukaan PMG Sarawak telah disempurnakan oleh Encik Hasnul Haniff bin Harun, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) dan perasmian penutupan disempurnakan oleh Sdr. Muhammad Hazim Azhari, Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak.
PMG peringkat Kebangsaan dijangka dianjurkan pada awal April 2019 di Univerisiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang bakal menghimpunkan wakil-wakil PMG dari negeri-negeri seluruh negara.
Rakaman video sesi "town hall" bersama YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah boleh ditonton di pautan ini: https://www.facebook.com/PERKEPISOfficial/videos/610480172729924/
Tiada ulasan
Catat Ulasan