Peduli Komuniti Sejagat: ABIM Sarawak Anjur Malam Nurani Insaniah 2019



Kuching, 15 Februari 2019: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sarawak, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) telah dengan jayanya menganjurkan "Malam Nurani Insaniah Sarawak (MANIS) 2019", bertempat di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak, di sini.
Program Malam Nurani Insaniah Sarawak 2019 (MANIS ’19) dicetuskan demi membangkitkan kesedaran dan menyatakan kepedulian masyarakat Sarawak terhadap warga dunia di wilayahwilayah bergolak seluruh dunia seperti warga Syria, etnik Uyghur, etnik Rohingya dan penduduk Palestin yang tertindas.
Program sepertinya telah dianjurkan untuk pertama kali pada tahun 2017. Mempertimbangkan faedah dan manaat daripada program ini, maka dicadangkan untuk dianjurkan sekali lagi bagi tahun 2019.
Untuk penganjuran Malam Nurani Insaniah Sarawak 2019 kali ini, penganjur mensasarkan tiga objektif utama:
i) Membangkitkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat di Sarawak khususnya terhadap usaha menyelamatkan saudara kita di China (etnik Uyghur), Palestin, Syria dan Myanmar (etnik Rohingya);
ii) Menimbulkan rasa syukur di atas nikmat keamanan dan
kedamaian yang dimiliki dan kita kecapi selama ini dan
pentingnya kita memastikan kesinambungannya;
iii) Mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa Syria, Rohingya, Uyghur dan Palestin.
Program dimulakan dengan ucapan sambutan daripada Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak, Encik Muhammad Hazim Azhari. Dalam ucapannya beliau menyatakan rasa bertanggungjawab ABIM dalam menyebarkan kepedulian terhadap keamanan sejagat khususnya dalam kalangan masyarakat Sarawak.
Program dilanjutkan dengan Ucapan Perasmian oleh Puan Haliza Jamaluddin, Pemangku Pengarah DBP cawangan Sarawak. Beliau merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada ABIM Sarawak atas penganjuran acara yang cukup bermakna dan berharap program seeprtinya dapat disebarluaskan.
Bicara Nurani pertama disampaikan oleh Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin, aktivis ABIM Sarawak merangkap penyelaras Malaysian Relief Agency (MRA) cawangan Sarawak. Beliau merupakan Ketua Misi MRA ke Palu bagi delegasi Misi ke-4. Dalam pembentangannya beliau menceritakan pengalaman beliau menjalankan kerja-kerja kemanusiaan di Palu, Sulawesi Selatan, Republik Indonesia.
Acara dilanjutkan dengan persembahan deklamasi puisi daripada deklamator tempatan yang cukup diminati, Tuan Awang Kelana, diikuti persembahan lagu puisi kemanusiaan oleh kumpulan Laskar Seni.
Bicara Nurani kedua disampaikan oleh Encik Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Global Peace Mission (GPM) Malaysia, sebuah agensi misi bantuan kemanusian antarabangsa berpengkalan di Kuala Lumpur.
Persembahan terakhir bagi MANIS 2019 merupakan persembahan khas deklamasi sajak daripada para tetamu khas - Puan Haliza Jamaluddin, pemangku Pengarah DBP cawangan Sarawak; Ustaz Haji Suhardi Edward, mantan Pengarah Global Peace Mission Sarawak; dan Encik Mohd Nizam Ismail, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak.
Dalam acara MANIS kali ini juga, Ustaz Mohamad Raufa Irman Abdul Raub telah dilantik sebagai Pengarah Global Peace Mission Sarawak yang baharu, menggantikan Ustaz Haji Suhardi Edward. Watikah pelantikan disampaikan oleh Encik Ahmad Fahmi Mohd Samsuddin selaku Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia.



































TAG