Kuching, 31 Januari 2019: ABIM Negeri Sarawak telah mencapai kesepakatan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Sarawak untuk penganjuran Malam Nurani Insaniah Sarawak (MANIS) 2019.
Program yang memasuki edisi kedua ini dijadualkan berlangsung pada 15 Februari 2019 (Jumaat), bermula jam 08:00 malam dan bertempat di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak, dekat sini.
MANIS yang berkonsep kempen kesedaran isu kemanusiaan sejagat melalui cara santai ini dilaksanakan dengan pengisian utama Slot Bicara Nurani yang akan disampaikan oleh tiga orang aktivis lapangan misi kemanusiaan; yang akan diselangselikan dengan persembahan nasyid dan nyanyian lagu kemanusiaan serta persembahan kreatif deklamasi puisi oleh karyawan tempatan seperti Awang Kelana, Lasykar Seni dan Faizal Jamil.
Fokus Bicara Nurani kali ini adalah berkisar penerangan isu penindasan etnik Uyghur di Xinjiang China, penjajahan ke atas warga Palestin yang belum selesai, konflik berdarah di Syria dan fenomena pelarian di negara sendiri etnik Rohingya di Myanmar.
Dalam pertemuan terkini antara ABIM Sarawak dengan DBP Cawangan Sarawak baru-baru ini, telah dikemaskini tiga orang pembicara bagi slot Bicara Nurani iaitu Tuan Wan Azizan Wan Zainal Abidin (Penyelaras Malaysian Relief Agency - MRA Sarawak), Encik Ahmad Fahmi Samsuddin (Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia - GPM) dan Encik Shahrir Azfar Saleh (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Life Line for Syria).
Dijangkakan malam tersebut akan menarik lebih 500 orang hadirin, sesuai kapasiti dewan lokasi penganjurannya.
Dalam perkembangan sama, ABIM Negeri Sarawak diwakili Mohammad Fazril Saleh dan Mohamad Raufa Irman telah menjalani rakaman bagi slot Sembang Sastera di Sarawak.fm, diteraju oleh Encik Faizal Jamil. Slot ini akan ke udara di Sarawak.fm pada 10 Februari nanti, jam 08:00 malam.
Hebahan awam juga akan diuar-uarkan dalam jangka masa terdekat.
Tiada ulasan
Catat Ulasan