TASKI ABIM: PERINTIS KEGEMILANGAN TAMADUN KHAYRA UMMAH.
Oleh: Zairudin Hashim (Penolong Setiausaha Agung ABIM)
Aisyah R.A ketika ditanya bagaimana akhlak Rasulullah? Beliau menjawab: “Akhlaknya adalah al-Quran.” (HR. Muslim)
Hadith ini memberikan kita gambaran betapa kita semua perlu meningkatkan iltizam, untuk berakhlak dengan akhlak al-Quran, sesuai dengan keagungan peribadi Rasulullah S.A.W. Ketika permulaan dakwah Islam, Nabi Muhammad S.A.W sendiri tidak hanya membina sisi tauhid, tetapi juga membina sendi dan tiang akhlak mulia.
Lemahnya aspek amalan akhlak merupakan antara sebab utama yang diakui melebarkan jurang moral di antara keindahan ajaran Islam dan kebobrokan peribadi para penganutnya.
Atas iltizam, keinsafan serta kesedaran yang jelas berkenaan kepentingan soal akhlak di samping pembudayaan ilmu dalam masyarakat, Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam (TASKI) telah ditubuhkan di Kedah pada tahun 1979, oleh para pimpinan serta aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Kedah.
Sesungguhnya, sifat-sifat mahmudah menjadi batu asas kepada terbentuknya sebuah masyarakat yang bertamadun.
Menginsafi bahawa masyarakat perlu diperkasakan untuk membudayakan sifat-sifat mahmudah tersebut, Kurikulum TASKI telah dilancarkan sempena Muktamar Sanawi ABIM Pusat, menjelang tahun 1982 di Kuala Lumpur.
Hakikatnya, TASKI ABIM memfokuskan kepada pembangunan tingkat perkembangan murid-murid (child development), keperluan (needs) dan minat semula jadi (fitrah), berasaskan al-Quran dan as-Sunnah.
Selepas TASKI, timbul pula idea sedari tahun 1983 untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam (SERI) dan Sekolah Menengah Islam (SEMI), di samping Kelas Tahfiz Pengajian al-Quran (TAHFIZ ABIM).
Kolej Dar al-Hikmah (KDH) yang asalnya dikenali sebagai Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam (IPI) pula beroperasi sejak 1989, dan merupakan kolej Islam swasta terawal ditubuhkan di Malaysia.
Jauh sebelum pengasasan TASKI, ABIM telah merintis pengasasan sekolah swasta bernuansa Islam, Yayasan Anda Akademik (YAA) yang dipelopori pada 1971.
Sekolah yang diwujudkan berpusat di Kampung Baru, Kuala Lumpur ini, kemudiannya menjadi model kepada banyak sekolah swasta lain di seluruh negara, yang memberi peluang kepada para pelajar miskin atau luar bandar yang mendapat keputusan kurang cemerlang ketika di bangku sekolah.
Hasilnya, ramai lulusan YAA dan sekolah swasta ABIM yang lain, yang cenderung kepada Islam, dan berjaya dengan cemerlang di kampus universiti yang mereka sertai.
Generasi awal ABIM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) konsisten menggagaskan sistem pendidikan berasaskan tarbiyah dan tadrib – yang mengangkat tinggi martabat ilmu serta kepentingannya dari aspek rohaniyah, intelektual (akal) dan jasmaniah, yang disemai dan diserapkan ke dalam jiwa dan sanubari para pelajar yang mengikuti sistem pendidikan ABIM.
Pada 23 September 1970, Presiden PKPIM, Sdr. Anwar Ibrahim (kini Datuk Seri) telah menulis surat kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein (Allahyarham) untuk menubuhkan sebuah Universiti Islam.
Selanjutnya, pada Ogos 1971, PKPIM telah menganjurkan Kongres Universiti Islam yang membawa kepada resolusi menggesa kerajaan menubuhkan sebuah Universiti Islam.
Keseimbangan silibus institusi pendidikan ABIM yang meraikan subjek-subjek agama serta akademik, menggalakkan para penuntutnya ke arah penguasaan ilmu pengetahuan serta inovasi yang membawa kemajuan serta kemakmuran.
Sebagai tamsilan, pada 23 Mei 2017, bersempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor, TASKI ABIM Al-Firdaus Meru, Klang telah dinobatkan sebagai ‘Sekolah Agama Pra-Sekolah Swasta Cemerlang’. SRI Integrasi Al Huda, Jalan Gombak pula diiktiraf sebagai ‘Sekolah Agama Swasta Cemerlang Peringkat Negeri Selangor Tahun 2018’.
Anugerah ini memberikan inspirasi untuk para pimpinan, petugas, serta sukarelawan ABIM untuk bekerja dengan lebih tekun pada masa mendatang.
Ia adalah selari dengan beberapa pengiktirafan yang diterima oleh ABIM seperti ‘Anugerah Penarafan 5 Bintang’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 2013, 2014 dan 2018 serta ‘Anugerah Maulidur Rasul bagi kategori NGO Islam Terbaik’ daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2018.
Hal ini bukanlah untuk dibangga-banggakan, sebaliknya merupakan manifestasi bahawa gerakan dan Badan Masyarakat Madani (Civil Society Organisation – CSO) Islam perlu menjadi yang terbaik, dan dibuktikan menerusi tindakan serta pengamalan, dan bukan sekadar retorik semata-mata.
Kecaknaan ABIM bukan hanya kepada isu membabitkan maruah Islam dan saudara kita yang dizalimi di kawasan bergolak, malah merangkumi isu politik, ekonomi, Orang Kurang Upaya (OKU) dan alam sekitar.
Dan kecemerlangan institusi-institusi pendidikan ABIM ini pastinya sangat berikat dengan jasa para guru, selaku nadi kecemerlangan pelajar, selain keyakinan serta kepercayaan para ibu bapa kepada institusi pendidikan ABIM, bagi menyumbang kepada pembangunan nilai-nilai, akhlak mulia dan watak al-hikmah yang disemai di dalam diri anak-anak.
Sesungguhnya, ABIM telah, sedang dan akan terus konsisten menjulang agenda kependidikan Islam, demi memastikan kualiti pendidikan anak-anak bangsa terus terjamin, khususnya dari segi pendidikan awal kanak-kanak dalam ruang lingkup pra-sekolah.
Bersesuaian dengan Umat Terbaik atau Khayra Ummah sebagai kata kunci tentang aspirasi dan cita-cita perjuangan dakwah ABIM -- TASKI dan institusi pendidikan ABIM yang lain akan terus merintis legasi perjuangan serta falsafah pendidikan Islam, bagi menyuburkan nilai-nilai keagamaan dan kerohanian yang unggul, sedari awal penubuhannya.
Sehingga kini, ABIM mempunyai ratusan TASKI di seluruh negara (termasuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak), merangkumi puluhan ribu lepasan sejak 1978. Ada yang kini menjadi peguam, pensyarah, doktor dan jurutera.
Gagasan institusi pendidikan ABIM menyedarkan kita bahawa kecemerlangan pembangunan modal insan dan pembinaan masyarakat madani hanya dapat dicapai melalui konsep perkongsian tanggungjawab berlandaskan semangat kebersamaan -- ‘es spirit de corps’.
Semoga anak-anak TASKI, SERI, SEMI, TAHFIZ ABIM dan KDH menjadi contoh yang cemerlang kepada para pelajar lain; di mana juga mereka berada.
‘Sesungguhnya, benih yang baik; dicampak ke laut menjadi pulau, terlontar ke langit menjadi bintang, jatuh ke daratan menjadi pohon yang berbuah dan rendang.’
Juga boleh dibaca di sini:
http://www.abim.org.my/berita-program/abim-pusat/item/1526-taski-abim-perintis-kegemilangan-tamadun-khayra-ummah.html
Tiada ulasan
Catat Ulasan