ABIM Sarawak Dinilai untuk Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri


Kuching, 12 Mac 2019: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah dinilai bagi Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2019 peringkat Negeri Sarawak.
Penilaian berlangsung bermula jam 03:00 petang dan berakhir sekitar jam 05:40 petang. Panel penilai yang terdiri daripada Encik Mohamad Sharbini bin Haji Golong, Pegawai Pendaftar Pertubuhan Belia Sarawak merangkap ketua juri; Encik Zaini bin Abd Aziz, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Sarawak; Encik Iszuan Haroni, Setiausaha Eksekutif SABERKAS; dan Encik Reza bin Adnan, pegawai di Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, telah diiring oleh pasukan pengiring ABIM Sarawak dari lokasi mereka ke Ibu Pejabat TASKI ABIM di Taman Sri Wangi.
Setibanya di Ibu Pejabat TASKI ABIM, panel disambut dengan persembahan oleh anak-anak pelajar TASKI ABIM seterusnya diiring ke Sekretariat ABIM Sarawak. Turut hadir bersama rombongan panel penilai adalah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching, Puan Hafizah binti Dahlan, Pegawai-pegawai dari JBS Negeri Sarawak Encik Hazizul, Puan Fazilawati dan Puan Ummi serta para pegawai daripada JBS Bahagian Kuching.
Di sisi ABIM Sarawak pula, selain para pimpinan ABIM Negeri dan Daerah, turut hadir memberi sokongan adalah pemimpin masyarakat tempatan, Tuan Haji Awang Hambali Awang Hamdan, Pengerusi Masjid Darul Ibadah, Kampung Samariang Lama. Beliau yang juga merupakan bekas Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Batu Lintang merupakan seorang aktivis pendidikan yang berpengalaman luas di medan pendidikan negara.
ABIM Sarawak yang diketuai Encik Muhammad Hazim Azhari membuka tirai kunjungan dengan mengalu-alukan kehadirian rombongan panelis. Selanjutnya diikuti dengan ucapan penyataan hasrat kunjungan oleh Ketua Panel Juri, Encik Sarbini Golong.
Diwakili Mohammad Fazril bin Mohd Saleh selaku Setiausaha Negeri, ABIM Sarawak membentangkan profail pertubuhan dan kegiatannya. Panel juri diperkenalkan dengan sejarah dan matlamat penubuhan ABIM Sarawak, di samping dibentangkan dengan pelbagai kegiatan dan projek ABIM Sarawak dalam konteks pembangunan belia dan masyarakat. Turut dibentangkan dalam sesi tersebut adalah projek-projek pendidikan dan keusahawanan ABIM Sarawak serta jaringan antarabangsa ABIM Sarawak khususnya dengan organisasi di Kalimantan Barat Indonesia, Sesi diteruskan dengan komentar, soal jawab, pemeriksaan dokumen dan penilaian oleh para juri.
Sebelum sesi berakhir, panel juri dihadiahkan dengan beberapa produk keluaran ABIM Sarawak seperti buku kelolaan ABIM Sarawak yang diterbitkan ABIM, "Nafahat al-Ridwan fi Manaqibi Shaykh Uthman" dan "Nasihat al-Muluk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam", KOMaduni madu asli Kapuas Hulu, button batch khas dan frame gambar kenang-kenangan.
Selain ABIM Sarawak, pertubuhan lain yang turut berentap dalam merebut Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) tahun ini adalah Persatuan Belia Rhema, Persatuan Belia Parlimen Mukah, Persatuan Belia Islam Nasional, dan Persatuan Belia Warisan Kenyalang.















TAG