Pontianak, 01 Mac 2019: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak yang diwakili Setiausahanya, Encik Mohammad Fazril Saleh telah berkunjung ke Pondok Pensantren Darul Ulum, Kabupaten Kubu Raya, Pontianak, Kalimantan Barat dalam rangka menjalin silaturrahim antara ABIM Sarawak dengan organisasi Islam di Kalimantan Barat, khasnya di Pontianak.
Beliau diiringi Ustaz H. Aba Kartono, seorang da'i dan ilmuwan muda yang kini bertugas di Kementerian Agama Provinsi Kalimantan Barat.
Kehadiran Encik Fazril disambut oleh Pengasas dan Shaykh Pondok Pensantren, Yang Mulia Kiyai Haji Chairuman Ar-Rahbini. Pondok Pensantren yang dibangunkannya ini merangkumi institusi Tadika sehingga ke Pengajian Tinggi.
Pelbagai perkara dibincangkan bersama dalam pertemuan hampir sejam, yang berlangsung di rumah Yang Mulia Kiyai. Kepedulian beliau terhadap dakwah di Sarawak juga sangat mengesankan di samping membentangkan perencanaan masing-masing dalam menggiatkan dakwah Islam di bumi Borneo-Kalimantan bertuah ini.
Encik Mohammad Fazril turut menyampaikan dua karya tulisannya terbitan ABIM iaitu "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" dan "Nasihat al-Muluk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam". Beliau juga turut dihadiah Yang Mulia Kiyai dengan buku autobiografi beliau dan sejarah pembangunan Ponpes Darul Ulum yang telah melahirkan banyak sekali ilmuwan dan para ulama yang bertebaran ke seluruh Indonesia.
Tiada ulasan
Catat Ulasan