Membangun Kekuatan Umat Kepulauan Borneo: ABIM Sarawak Jalin Persaudaraan dengan Nahdlatul Ulama Kalimantan Barat


Pontianak, 02 Mac 2019: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak yang diwakili Setiausahanya, Encik Mohammad Fazril Saleh telah berkunjung ke Sekretariat Pengurus Wilayah Nahdlatul Ulama (NU) Provinsi Kalimantan Barat, dalam rangka menjalin silaturrahim antara ABIM Sarawak dengan organisasi Islam di Kalimantan Barat.
Kehadiran Encik Fazril disambut oleh Ketua Tanfidziah Pengurus Wilayah Nahdlatul Ulama (NU) Provinsi Kalimantan Barat, Tuan Haji Hildi Hamid; Ketua Ikatan Sarjana Nahdlatul Ulama (ISNU) Kalbar, Dr. Yusriadi, MA.; serta ketua Lembaga Ta'lif wan Nasyr Nahdlatul Ulama (LTN PWNU) Kalbar, Dr.Ibrahim, MA. serta beberapa pengurus ISNU lainnya.
Pelbagai perkara dibincangkan bersama dalam pertemuan yang berlangsung lebih dua jam itu. Pertemuan yang berlangsung di Sekretariat PWNU KALBAR di Jalan Veteren, dekat sini menyingkap pelbagai dimensi keIslaman dan dakwah dalam ruanglingkup masyarakat Nusantara khasnya di Kepulauan Borneo.
Antara topik paling menonjol menjadi aspek perbincangan dalam pertemuan tersebut adalah kerjasama menyingkap semula sejarah Islam di Borneo melalui penelitian yang lebih mendalaman dan integral. Dengan menyelak semula sejarah umat dan kekuatannya, maka motivasi keagamaan dalam kalangan umat dapat dibangunkan sekaligus menetapkan kriteria-kriteria kebangkitan kualiti umat di wilayah Borneo-Kalimantan ini.
Di samping itu, masing-masing organisasi berkongsi dan membentangkan perencanaan masing-masing dalam menggiatkan dakwah Islam di bumi Borneo-Kalimantan.
Mohammad Fazril turut diiringi Ustaz H. Aba Kartono, seorang da'i dan ilmuwan muda yang kini bertugas di Kementerian Agama Provinsi Kalimantan Barat.
Mohammad Fazril turut menyampaikan dua karya tulisannya terbitan ABIM iaitu "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" dan "Nasihat al-Muluk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam".
Karya berjudul "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" terjemahan Mohammad Fazril ini mendapat perhatian daripada para sarjana Nahdalatul Ulama di Kalimantan Barat atas sebab ia merupakan suatu informasi baharu tentang martabat ulama asal Borneo-Kalimantan yang selama ini kurang diketahui masyarakat awam.
Kunjungan ini turut mendapat liputan daripada beberapa portal berita dalam talian di Indonesia.










TAG