Mengerat Hubungan Jalinan Fikrah dan Dakwah: ABIM Sarawak Kukuh Persaudaraan dengan Dewan Da'wah Islamiah Indonesia Kalimantan Barat



Pontianak, 02 Mac 2019: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak yang diwakili Setiausahanya, Encik Mohammad Fazril Saleh telah berkunjung ke Sekretariat Pengurus Besar Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia (DDII) Provinsi Kalimantan Barat, dalam rangka menjalin silaturrahim antara ABIM Sarawak dengan organisasi Islam di Kalimantan Barat.
Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia (DDII) sememangnya mempunyai jaringan persaudaraan dan dakwah dengan ABIM sejak sekian lama. Malah, pemikiran dakwah ABIM sebahagiannya juga dicorakkan oleh pengasas DDII, Almarhum Bapak M. Natsir. Beliau yang sangat akrab hubungannya dengan para pengasas dan pemimpin awal ABIM seperti Anwar Ibrahim (Dato' Seri) dan Siddiq Fadzil (Prof. Dato' Dr.) sangat peduli dan prihatin kepada perkembangan Islam di Malaysia, sehinggakan menjadi mentor kepada para pemuda dakwah di Malaysia.
Kehadiran Encik Fazril disambut oleh Ketua DDII Provinsi Kalimantan Barat Drs H.Makful Syafwan dan barisan kepemimpinan DDII Provinsi Kalimantan Barat.
Pelbagai perkara dibincangkan bersama dalam pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu. Pertemuan yang berlangsung di Sekretariat DDII KALBAR berlokasi di Jln. H. Rais A. Rahman Gg. Lawu, dekat sini menyingkap pelbagai dimensi keIslaman dan dakwah dalam ruanglingkup masyarakat Nusantara khasnya di Kepulauan Borneo, di samping berkenalan lebih lanjut tentang 'silsilah' dakwah antara ABIM dengan Dewan Da'wah.
Antara topik paling menonjol menjadi aspek perbincangan dalam pertemuan tersebut adalah kerjasama membangun kekuatan ummat melalui kegiatan ekonomi di samping memperkukuh gerakan dakwah di kawasan pedalaman.
Di samping itu, masing-masing organisasi berkongsi dan membentangkan perencanaan masing-masing dalam menggiatkan dakwah Islam di bumi Borneo-Kalimantan.
Mohammad Fazril turut diiringi Ustaz H. Aba Kartono, seorang da'i dan ilmuwan muda yang kini bertugas di Kementerian Agama Provinsi Kalimantan Barat.
Mohammad Fazril turut menyampaikan dua karya tulisannya terbitan ABIM iaitu "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" dan "Nasihat al-Muluk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam".
Karya berjudul "Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak" terjemahan Mohammad Fazril ini mendapat perhatian daripada para sarjana Nahdalatul Ulama di Kalimantan Barat atas sebab ia merupakan suatu informasi baharu tentang martabat ulama asal Borneo-Kalimantan yang selama ini kurang diketahui masyarakat awam.
Perkenalan ABIM Sarawak dengan Dewan Da'wah Islamiyah Indonesia Wilayah Kalimantan Barat sebelumnya berlaku dalam acara Silaturrahmi dan Dialog Daie Serantau, bertempat di Kota Putussibau, Kabupaten Kapuas Hulu, Kalimantan Barat, yang telah berlangsung pada 12-15 Januari 2019 yang lalu.




TAG