ABIM Sarawak dan JBS Sarawak Jayakan Karnival Youth Power 2019


Kuching, 28 April 2019: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah berperanan sebagai rakan penganjur utama bersama-sama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan, Belia dan Sukan Sarawak (MTACYS) dalam penganjuran Karnival Sarawak Youth Power 2019 peringkat Negeri Sarawak.
Karnival ini telah menghimpunkan kira-kira 3,500 pengunjung sepanjang dua hari tempoh penganjurannya bermula 27 April 2019. Pelbagai aktiviti dan kegiatan diadakan sepanjang karnival ini berlangsung.
Pada hari pertama penganjurannya, dilangsungkan Pertandingan "Youth Skills Challenge" yang menguji kemahiran para peserta dalam kalangan belia untuk tiga ujian utama: menggunting rambut, gubahan, dan solekan. Selain itu, dianjurkan juga 'Town Hall Belia' yang menampilkan tokoh-tokoh belia Sarawak antaranya Tuan Wan Azizan Wan Zainal Abidin dan Encik Qadri Basri.
Turut diadakan pertandingan masakan menu sihat, pertandingan Badang Sarawak (orang Kuat), pertandingan basikal kanak-kanak, pertunjukan autoshow, pertandingan mewarna kanak-kanak, eksplorasi usahawan, Pertandingan 'StreetSoccer', Sukan OKU dan kursus Keusahawanan Sijil Halal.
Manakala pameran dan jualan diadakan sepanjang dua hari acara berlangsung. Angerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Sarawak juga diadakan bersempena karnival kali ini.
Perasmian Pembukaan Karnival disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan, Belia dan Sukan Sarawak (MTACYS). Turut hadir, Yang Berbahagia Encik Zaini Abd Aziz, Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
































TAG