Kuching, 06 April 2019: Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) telah mula diperkenalkan pada tahun 1988. Tujuan Anugerah ini adalah untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan belia di Malaysia.
Selain itu, ia juga meraikan kejayaan belia yang menunjukkan potensi diri yang cemerlang serta menunjukkan kepada masyarakat mengenai sumbangan belia ke arah meningkatkan pembangunan belia.
ABIM Sarawak telah melalui penilaian APBN peringkat Negeri Sarawak (Kategori Pertubuhan) pada 12 Mac 2019, dan mendapat markah tertinggi sehingga melayakkannya memenangi APBN Peringkat Negeri Sarawak.
Setelah dinilai sebagai layak, maka pihak Urusetia APBN Peringkat Negeri Sarawak telah mencalonkan ABIM Sarawak untuk bertanding di peringkat kebangsaan.
Pihak panel penilai APBN Peringkat Kebangsaan (kategori Pertubuhan) telah melakukan penilaian kepada kesemua pencalonan yang datang daripada peringkat negeri dan telah memilih empat pertubuhan untuk disenaraipendek mewakili negeri masing-masing.
Negeri-negeri tersebut adalah Pahang (Persatuan Belia Bukit Mahkota); Negeri Sembilan (Persatuan Belia Felda Jelai); Labuan (Persatuan Belia Bukit Kuda) dan Sarawak (ABIM Sarawak).
Oleh yang demikian, tim panel penilai profesional lantikan Kementerian Belia dan Sukan telah hadir dan menilai kesemua empat pertubuhan tersebut dan dijadualkan penilaian atas ABIM Sarawak akan dilakukan pada 06 April 2019, Sabtu.
Rombongan penilai APBN 2019 peringkat kebangsaan terdiri daripada tiga orang panel iaitu Professor Madya Dr. Ismi Arif Ismail (Universiti Putra Malaysia), Puan Hajjah Siti Aisyah binti Yahaya (mantan Pendaftar Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia ROY) dan Encik Muhammad Fadzli Hasan (Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia MBM), diiringi lebih tujuh orang urusetia daripada Jawatankuasa Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Kebangsaan dan lebih sepuluh orang pegawai dan kakitangan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak.
Pada pagi 06 April 2019, Panel Penilai dan rombongan diiring dengan pasukan pengiring ABIM Sarawak dari lokasi penginapan Hotel Pullman Kuching sebelum berangkat ke sesi sambutan di lokasi seterusnya.
Pasukan pengiring merangkumi 13 buah motosikal, sebuah kereta dan sebuah pick-up Hilux (untuk tim media) akan mengiringi rombongan (sebuah kereta dan sebuah van) dari Hotel Pullman ke Dewan bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak.
Sesi Sambutan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak. Sesi tersebut bersekali dengan majlis Perasmian Program Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP) dan Terapi Mewarna untuk Kanak-kanak anjuran ABIM Sarawak dan DBP cawangan Sarawak.
Tim Panel Penilai hadir bersama dalam program sehingga tamat sesi perasmian. Peserta rata-rata terdiri daripada ahli ABIM Sarawak dan para pelajar serta ibu bapa pelajar TASKI ABIM bagi seluruh 16 cawangan di Kuching dan Samarahan yang dianggarkan seramai 500 orang kesemuanya.
Majlis Perasmian program STOP disempurnakan oleh Datuk Sri Hajjah Hafsah Harun, Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Usai sesi perasmian, tim panel penilai akan dibawa langsung ke Kafe ABIM di Medan Hamizan, Petra Jaya. Kafe ABIM adalah premis makanan yang duiusahakan oleh belia berkonsepkan book café. Tim panel penilai minum pagi di Kafe ABIM.
Setelah itu, panel penilai akan dibawa ke sesi lawatan ke Quiikcat Motel, sebuah projek inovasi sosial penginapan untuk backpackers berkonsepkan khidmat sosial. Berkonsepkan penginapan bajet untuk ‘backpackers’ Quiikcat memanfaatkan konsep pembayaran melalui khidmat sosial (sambil mengenali budaya setempat) dalam kalangan pelanggan Quiikcat yang rata-ratanya merupakan pelancong dari Eropah. Ia adalah projek yang digerakkan oleh AJK ABIM Sarawak.
Setelah selesai semua lokasi lawatan, dijangkakan sekitar jam 10:15 pagi, tim penilai tiba di Sekretariat ABIM Sarawak (SASAR), Tmn Sri Wangi, Petra Jaya. Tim panel penilai akan melimpasi Pintu Gerbang Khas yang didirikan di simpang jalan masuk ke blok Sekretariat ABIM Sarawak, kemudiannya diraikan dengan persembahan silat dan persembahan lagu pembukaan khas oleh Kumpulan Nasyid Hawary, yang ditubuhkan oleh AJK ABIM Sarawak.
Sebelum naik ke sekretariat, tim penilai dibawa meninjau kegiatan Futsal Komrado yang menampilkan konsep riadah dan sukan dengan penerapan nilai peduli komuniti, di mana setiap pasukan yang berentap membayar yuran penyertaan menggunakan set bahan-bahan makanan asas dan kelengkapan dapur untuk diagihkan kepada golongan memerlukan. Di samping itu, terdapat juga kegiatan mewarna untuk terapi golongan dewasa, gunting rambut percuma, bengkel servis kereta dan permainan e-sport.
Tim Panel Penilai dibawa meninjau Ruang Kegiatan Pelajar dan Belia di Sekretariat ABIM Sarawak (SASAR). Acara dimulakan dengan Ucapan Alu-aluan oleh Yang Dipertua ABIM Negeri Sarawak, diikuti Ucapan Penyataan Hasrat Kunjungan oleh Ketua Panel Penilai. Selanjutnya diteruskan dengan Pembentangan Profail dan Kegiatan ABIM Negeri Sarawak dan diakhiri dengan Demonstrasi Pengaplikasian CERMAT (inovasi perisian perakaunan dan pengurusan kewangan).
Panel penilai seterusnya bertanya jawab dan diikuti dengan dokumen dan komentar. Diakhiri dengan sesi merakam kenangan (fotografi bersama). Tim panel penilai dijangka berangkat keluar daripada SASAR selewat-lewatnya jam 12:30 tengahari, untuk memberi laluan kepada panel berangkat ke Lapangan Terbang untuk penerbangan ke Labuan.
Sebelum berangkat ke Lapangan Terbang, tim panel penilai dihadiahkan dengan buku kelolaan ABIM Sarawak berjudul 'Nafahat al-Ridwan Riwayat Hidup Shaykh Uthman Sarawak' dan 'Nasihat al-Muluk dan Etika Kepemimpinan Belia Islam' serta beberapa produk yang dihasilkan ABIM Sarawak seperti madu asli Kapuas Hulu KOMaduNI, button batch khas, sijil penghargaan, frame foto gambar, dan kek lapis serta snek Sarawak.
Keputusan akhir bagi Anugerah Perdana Belia Negara 2019 Peringkat Kebangsaaan (kategori Pertubuhan) berada di tangan tim panel. Yang pasti, ABIM Sarawak merupakan satu daripada empat pertubuhan belia terbaik bagi tahun 2019 yang akan menerima anugerah dalam Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan, 15 Mei nanti, di sekitar Lembah Klang.
Tiada ulasan
Catat Ulasan