ABIM S'wak-MBS Kunjungi Digital Innovation Hub TEGAS-SMA


Kuching, 25 April 2019: ABIM Sarawak dan Majlis Belia Sabah (MBS) telah mengadakan kunjungan lawatan ke Digital Innovation Hub (DIH) yang dikelolakan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Bumiputera Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama pendanaan oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA), bertempat di hub mereka dalam kawasan iCOM, dekat sini.
DIH ini merupakan suatu platform untuk mengasah bakat dan menyokong para usahawan serta mencipta inovasi untuk para belia di Sarawak. DIH juga menawarkan ruang guna-sama dengan fasiliti yang lengkap, pendanaan dan latihan yang mesra usahawan.
Rombongan Majlis Belia Sabah (MBS) seramai 13 orang yang diketuai oleh Sdr. Ahmad Farid Sainuri, Presiden MBS diiringi oleh Setiausaha ABIM Sarawak Sdr, Fazril Saleh telah disambut oleh Tuan Awangku Merali selaku COO TEGAS.
Pelbagai perkara dibincangkan, termasuklah MBS merasakan terdapat keperluan untuk mewujudkan sebuah Digital Innovation Hub bagi meraikan usahawan belia di Sabah. Dengan demikian, MBS akan membawa cadangan ini ke pihak kementerian yang sesuai seperti Kementerian Belia dan Sukan Sabah serta Kementerian Pembangunan Usahawan Malaysia.
Bagi pihak ABIM Sarawak pula, peluang yang sememangnya terhidang dalam negeri sendiri perlu dimanfaatkan oleh para belia Sarawak. Inisiatif seperti ini akan memberi lebih banyak ruang dan peluang memajukan sektor keusahawanan khususnya dalam kalangan belia.









TAG