Kuching, 24 April 2019: Badan induk pertubuhan Belia negeri Sabah iaitu Majlis Belia Sabah, telah berkunjung ke Restoran Kafe ABIM, berlokasi di Medan Hamizan, Bangunan Borneo Housing, Petra Jaya, dekat sini.
Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Sabah (MBS) yang dipimpin Presidennya, Encik Ahmad Farid Sainuri, telah hadir ke Kuching bersama 14 orang ahli rombongan dalam rangka lawatan kerja pertama di negeri ini.
Menurut beliau, sebagai warga negeri yang berjiran, sewajarnya berlakujalinan kerjasama antara warga belia kedua-dua negeri.
Rombongan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Kota Kinabalu dan disambut wakil pertubuhan belia Negeri Sarawak daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak, Saudara Mohammad Fazril Saleh.
Setelah melihat-lihat suasana sekitar Bandar Raya Kuching dan berkunjung ke Muzium Sarawak Galeri Urang Sarawak, rombongan dibawa menikmati jamuan makan tengahari di Kafe ABIM.
Kafe ABIM merupakan sebuah projek keusahawan yang digerakkan oleh para belia daripada ABIM Sarawak. Ia menggabungkan konsep kafe buku dan inkubasi keusahawanan belia di mana di dalam Kafe tersebut disediakan stall untuk dimanfaatkan para belia yang berminat menceburkan diri dalam bidang perniagaan makanan.
Malah Kafe ABIM menyediakan seorang jurulatih bagi membantu para belia khusus dalam memastikan kualiti rasa makanan dan minuman sentiasa terjaga.
Kafe ABIM telah melaksanankan "soft launching" pada 06 April 2019 dengan disempurnakan oleh YBhg Datuk Sri Hafsah Haron, Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di Pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Ia dibuka secara khusus bagi menyantuni para ahli rombongan Majlis Belia Sabah yang datang berkunjung pada 24 April 2019. Ia bakal dibuka secara rasmi kepada khalayak pada 01 Mei 2019 dan sepanjang bulan Ramadan.
Antara sajian istimewa Kafe ABIM adalah Nasi Ayam Bakar dan Nasi Ayam Geprek.
Kafe ABIM beralamat di Kafe ABIM, sublot 3 Tingkat Bawah, Bangunan Borneo Housing, Medan Hamizan, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub off Lorong Astana 4, Petra Jaya, Kuching.
Tiada ulasan
Catat Ulasan