Pengerusi KOMADANI Raih Kemenangan Rebut Kerusi Pengerusi ANGKASA Sarawak


Miri, 06 April 2019: Pengerusi Ahli Lembaga Koperasi Sri Madani Sarawak Berhad, Tuan Wan Azizan Wan Zainal Abidin dinobatkan sebagai Pengerusi Perhubungan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) bagi Negeri Sarawak.
Beliau telah berjaya mengalahkan lawannya yang juga penyandang jawatan tersebut selama hampir satu dekad, Tuan Haji Usuf Samah dengan kemenangan berdasarkan undi majoriti mudah 153 berbalas 75, dalam pertandingan dua penjuru di Persidangan Tahunan ANGKASA Negeri Sarawak, bertempat di Hotel Meritz, dekat sini.
Lebih 200 perwakilan koperasi yang bernanung di bawah ANGKASA menghadiri persidangan kali ini, dan ini mencatatkan rekod kehadiran ke persidangan tahunan paling tinggi sepanjang sejarah ANGKASA Sarawak.
Wan Azizan yang juga merupakan seorang perunding kewangan dan aktivis ABIM mempunyai pengetahuan luas dalam sektor koperasi dan keusahawanan.
Beliau juga adalah pencipta program perisian Buku Tunai CERMAT yang memudahkan urusan mengatur kewangan bagi perniagaan, persatuan dan individu yang ingin merancang kewangan secara tersusun.
Dengan kepakaran beliau dalam urusan audit, akauntansi dan perancangan kewangan, masa depan gerakan koperasi dijangka cerah di bawah kepemimpinan beliau.
Kejayaan ini melakar sejarah baharu gerakan koperasi di Sarawak, malah mungkin di Malaysia, apabila menyaksikan seorang belia di bawah usia 40 tahun meneraju ANGKASA negeri.
Sebelumnya, pada penghujung Januari 2019, Koperasi Sri Madani Sarawak Berhad (ko-MADANI) telah sebulat suara menyokong usul memberi keizinan dan membantu memenangkan Pengerusi Ahli Lembaga Koperasinya, Tuan Wan Azizan Wan Zainal untuk bertanding jawatan ini. Keputusan ini dibuat dalam Mesyuarat Agung Koperasi, bertempat di Dewan Tuan Guru Awang Pon Awang Sebon, Ibu Pejabat TASKI ABIM, Taman Sri Wangi.
















TAG